Isuzu Malaysia sekali lagi akan kembali sebagai Penaja Berlian bagi acara Borneo Safari 2023. Bezanya tahun ini, syarikat itu akan menyediakan dua unit Isuzu D-Max 1.9-liter Single Cab untuk digunakan sepanjang kembara off-road itu sebagai kenderaan sokongan — dengan sebahagian besarnya untuk kegunaan media.
Ini adalah tambahan kepada tiga unit Isuzu D-Max X-Terrain yang sudah pun digunakan dalam acara sama sejak edisi tahun lalu. Menurut Isuzu Malaysia, versi Single Cab dipilih untuk menggalas peranan sokongan dalam acara ini kerana kebolehannya sebagai jentera yang kental dan serba boleh.
“Untuk menakluki acara seperti Borneo Safari yang menghamparkan laluan sukar dalam hutan, ia tidak hanya memerlukan kenderaan dengan sistem 4×4 yang mantap, tetapi juga perlu dihadirkan dengan kemampuan yang sangat tinggi untuk memastikan ia berhasil melepasi cabaran lapan hari dalam keadaan yang ekstrim seperti itu.
“Dengan warisan panjang Isuzu D-Max sebagai sebuah trak pikap, ia tidak disangkal lagi menjadi salah kenderaan media yang paling boleh diharap sepanjang edisi terdahulu acara ini, dan telah berhasil mengangkut media dan peralatan mereka menempuhi pelbagai situasi dan keadaan setiap tahun sejak sedekad lalu,” ujarKetua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe.
Borneo Safari 2023 memasuki penganjurannya bagi tahun ke-31 dan diiktiraf sebagai satu daripada cabaran off-road paling sukar di dunia. Acara ini bakal dilepaskan di hadapan pejabat Lembaga Pelancongan Sabah pada Ahad, 29 Oktober 2023 dan akan menjelajahi kawasan pergunungan Sook dan Ranau sebelum kembali ke Kota Kinabalu selepas seminggu.
Isuzu Malaysia juga sekali lagi akan bekerjasama dengan Tourism Malaysia, Lembaga Pelancongan Sabah serta Red Springs Sdn Bhd untuk menerbitkan siri video web yang mempromosikan acara ini khususnya, dan Sabah umumnya sebagai destinasi pengembaraan.
Sebagai Penaja Berlian bagi acara ini buat sekian kalinya, Okazoe menyerahkan dokumen penajaan dan kunci bagi kenderaan rasmi media berkenaan kepada Presiden Persatuan Pacuan Empat Roda Sabah, Faez Nordin.
The post Isuzu Malaysia taja Borneo Safari 2023 sekali lagi appeared first on Paul Tan’s Automotive News.