Menyusuli perjanjian yang telah ditandatangani Jun lalu, Careplus, bersama rakan kongsinya, GoAuto menyatakan bahawa pemasangan kenderaan dalam negara (kilang di Chembong, Negeri Sembilan) akan bermula pada hujung tahun hadapan. Perkara ini dinyatakan oleh pengarah eksekutif dan CEO kumpulan Careplus, Lim Kwee Shyan kepada The Edge Malaysia.
“Harapnya kami dapat memulakan pemasangan kenderaan pada penghujung tahun 2024. Kami akan bermula dengan pemasangan sehingga 10,000 kereta Neta, seperti kapasiti kilang sekarang, dan 30,000 unit dalam masa setahun,” tambah Lim.
Kerjasama di antara Careplus dan GoAuto melibatkan beberapa syarikat, dengan yang pertama adalah melibatkan NexV Manufacturing untuk kilang pengeluaran, dengan mereka telah menyediakan sebidang tanah 74 ekar di Chembong, Negeri Sembilan untuk tujuan tersebut. Tanah itu sekarang dimiliki oleh Careplus dan syarikat itu akan mempunyai pegangan sebanyak 51% untuk kerjasama tersebut.
Syarikat seterusnya adalah Intro Synergy, yang sekarang dimiliki penuh oleh GoAuto, tetapi 30% pegangannya akan dibeli oleh Careplus. Syarikat ini akan bertanggungjawab untuk pengimportan, pengedaran dan penjualan kenderaan elektrik jenama Neta.
Satu lagi syarikat yang ditubuhkan adalah NexV Synergy, yang akan menyaksikan Careplus memegang hak untuk pusat pengedar EV Neta, dengan pegangan 70% dalam syarikat. Careplus akan menguruskan sepenuhnya urusan pengedaran dan operasi, serta kawalan kewangan penuh, sementara NexV Synergy akan menyewa sebuah kompleks satu tingkat di Careplus Mall untuk dijadikan pusat pameran – lapor The Edge Malasia.
Antara model yang boleh dijangka tiba adalah Neta V, yang dipertontonkan di Malaysia buat pertama kali Mei lalu, dan kini merupakan EV paling murah di Malaysia, dengan harga RM99,800.
The post Neta V CKD pada tahun 2024 – kilang di Negeri Sembilan, bermula dengan pemasangan EV Neta? appeared first on Paul Tan’s Automotive News.