Proton S70 – bahagian dalam kelihatan sama seperti Emgrand, guna suspensi belakang torsion beam

Ini ada lagi gambar Proton S70, yang dihantar oleh seorang pembaca paultan.org. Kali ini, kita dapat melihat secara kasar bahagian dalam serta bawah sedan segmen C ini, yang dijangka dilancar pada bulan November tahun ini.

Tidak begitu mengejutkan, bahagian dalam S70 ini kelihatan sama seperti model yang diguna sebagai asas, iaitu Geely Emgrand, meskipun ia menggunakan kedudukan stereng di sebelah kanan. Ini termasuklah bahagian konsol tengah, serta skrin sesentuh di tengah.

Bentuk perumah panel instrumen juga kelihatan sama, tetapi agak sukar untuk kita mengetahui sama ada ia menggunakan panel instrumen digital penuh ataupun tidak. Stereng juga sama, tetapi diganti dengan logo Proton di tengah.

Satu lagi gambar yang dihantar oleh pembaca ini menunjukkan bahagian belakang, dari bawah, sekaligus menampakkan tetapan torsion beam, sama seperti Emgrand yang dijual di Filipina. X50 yang menggunakan platform B-MA yang sama juga menggunakan torsion beam di belakang, dan tetapan MacPherson di hadapan.

Penggunaan platform ini juga membenarkan penggunaan enjin tiga silinder 1.5L turbo daripada SUV itu. Ia mampu menghasilkan kuasa 177 PS dan tork 255 Nm, sekaligus lebih tinggi berbanding enjin empat silinder 1.5L NA pada Emgrand pasaran Filipina (102 PS/142 Nm).

Untuk rekaan luar, melalui gambar yang tersebar sebelum ini, kita dapat melihat S70 ini secara kasarnya memang mengikut bentuk Emgrand, tetapi diberikan dengan perincian tersendiri pada gril hadapan (corak infinite weave atau pin krom, mengikut varian) serta tulisan Proton di bahagian panel tengah yang menyambungkan dua lampu belakang.

The post Proton S70 – bahagian dalam kelihatan sama seperti Emgrand, guna suspensi belakang torsion beam appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *