Honda Prelude Concept didedahkan – kereta sport coupe dua-pintu dilahirkan semula sebagai EV

Selain Toyota, nampaknya Honda juga sedang “membangunkan” semula pelbagai model-model ikonik mereka yang sudah lama “ditidurkan”. Selepas Integra, hari ini Honda mendedahkan pula model generasi baharu bagi coupe dua-pintu popularnya iaitu Honda Prelude ketika berlangsungnya Japan Mobility Show 2023!

Model yang digelar sebagai Honda Prelude Concept ini hadir sebagai model elektrik penuh (EV). Dan sama seperti model-model “konsep” mereka sebelum ini seperti Civic dan Integra, Prelude Concept ini juga sebenarnya sudah nampak seperti model produksi sebenar tanpa perincian-perincian merepek.

“Model ini akan menjadi prelude bagi model masa depan kami yang akan mewarisi ‘keseronokan memandu’ ke dalam era masa depan elektrik sepenuhnya dan merangkumi sifat sporty Honda yang tidak boleh diubah,” tulis Honda dalam kenyataan yang dikeluarkan seolah-olah memberi bayangan model ini akan benar-benar diproduksi tidak lama lagi.

Malah model konsep Prelude ini juga akan menunjukkan fokus Honda berkenaan aspek seperti prestasi pemanduan dan respon kereta terhadap pemandu walaupun sudah masuk ke era elektrik penuh. Menurut Honda, fokus ini “menawarkan pengalaman menggembirakan yang membuatkan anda ingin teruskan selama-lamanya dan keseronokan luar biasa yang tidak pernah anda rasai sebelum ini”.

Seperti model-model Prelude sejak generasi pertama, model konsep ini dihasilkan dengan badan coupe dua-pintu yang cukup sporty. Ia menerima muka dengan bentuk muncung yang tirus, diberikan lampu hadapan nipis dengan ‘kening’ jalur LED di atas.

Ia turut diberikan bampar hadapan dengan spoiler bawah yang menyerlah, pembuka pintu tersorok, lampu belakang yang merentangi sepenuhnya penutup, spoiler but ‘ekor itik’, diffuser yang agresif serta set rim aloi berwarna hitam dengan tayar berprofil rendah dengan sistem brek Brembo kelihatan di sebaliknya.



Namun masih belum ada sebarang perincian spesifikasi berkenaan konfigurasi motor elektrik, kuasa dan tork, kapasiti bateri dan sebagainya untuk Prelude Concept ini didedahkan oleh Honda buat masa sekarang.

Tahun lalu presiden dan CEO Honda, Toshihiro Mibe ada menyatakan bahawa Honda akan memperkenalkan dua kereta sport dalam rancangan syarikat itu bagi masuk ke era elektrifikasi, satu adalah model khusus dan satu lagi adalah model flagship. Mungkin Prelude EV ini adalah model khusus yang dimaksudkan?





























The post Honda Prelude Concept didedahkan – kereta sport coupe dua-pintu dilahirkan semula sebagai EV appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *