Sedar tak sedar, Suzuki Swift generasi ketiga sudahpun berusia hampir tujuh tahun dalam pasaran selepas diperkenalkan pada 2016. Jadi sebelum model produksi sebenar Swift generasi keempat muncul, ini dia Suzuki mendedahkan Swift Concept 2024 ketika berlangsungnya Japan Mobility Show 2023 bagi memberikan gambaran sebenar model serba baharu itu.
Walaupun ia digelar ‘concept’, Swift ini sebenarnya sudah menampilkan rupa seakan sudah bersedia untuk diproduksi. Suzuki masih belum mendedahkan spesifikasi sebenar bagi model baharu ini. Namun menerusi maklumat yang diberi, ia digerakkan dengan enjin tiga-siinder sebaris bersama sistem hibrid ringkas. Spesifikasi yang hampir sama sebenarnya sudahpun ditawarkan pada model generasi ketiga sedia ada.
Suzuki juga telah mendedahkan dimensi hatchback konsep ini, iaitu panjang 3,860 mm, lebar 1,695 mm, tinggi 1,500 mm dan jarak roda sejauh 2,540 mm. Saiz berkenaan nampaknya juga adalah sama pada model generasi sedia ada.
Sekali tengok kita masih kenal bahawa hatchback ini adalah sebuah Swift, namun ia sebenarnya menerima perubahan rupa yang agak besar. Lampu hadapan (bersama lampu nyalaan siang bina dalam berbentuk-J) model konsep 2024 ini diletakkan lebih rendah dari sebelum ini.
Penutup bonet kini direka seakan kulit kerang, dan mewujudkan garis sisi badan yang bercantum dengan lampu belakang. Manakala gril hadapan dan perumah lampu kabus juga lebih kecil dari Swift generasi sedia ada, membolehkan satu lagi ‘mulut’ liang udara diberikan pada bahagian bawah bampar hadapan.
Bahagian kemasan hitam pada tiang-C hatchback ini yang memberikan kesan seakan bumbung terapung kini lebih besar. Lampu belakang, pintu tailgate dan bampar belakang semuanya direka semula, tetapi masih nampak ada kaitan dengan model generasi ketiga.
Perubahan total turut dilihat dibuat pada sebelah dalam di mana ia diberikan skrin yang diletakkan secara berdiri sendiri di tengah atas papan pemuka. Liang penghawa dingin tengah yang sebelum ini bulat telah direka leper dan dipindahkan ke bawah skrin.
Tiada lagi suis putar untuk kawalan pendigin hawa, dan ia kini telah diganti dengan suis togol dan butang-butang. Rekaan roda stereng juga berbeza terutama pada bahagian suis-suis kawalan yang kini nampak lebih banyak.
Suzuki nampaknya tidak memberikan paparan instrumen digital pada model generasi baharu ini, namun rekaan papan meternya jelas berbeza serta diberikan skrin pelbagai info di bahagian tengah.
The post Suzuki Swift Concept 2024 didedah – bakal jadi model produksi generasi ke-4, enjin 3-silinder hibrid ringkas appeared first on Paul Tan’s Automotive News.