Toyota Land Cruiser 70 Series facelift 2024 – casis ladder frame asal, 2.8L Turbodiesel dari Hilux, ada TSS

Ogos lalu Toyota telah memperkenalkan satu lagi versi facelift baharu untuk Land Cruiser 70 Series yang telah diproduksi sejak 1984 – ya, ia adalah model dengan casis ladder frame yang sama telah dijual selama 39-tahun dan diberikan pelbagai pembaharuan. Jika sebelum itu model ini hanya dijual dipasaran tertentu seperti Australia dan Afrika, versi facelift 2024 ini pula kembali ditawarkan di pasaran Jepun.

Jadi Toyota turut membawa model ini untuk dipamerkan di Japan Mobility Show 2023 yang bermula semalam di Tokyo Big Sight, memberikan peluang untuk kami membeleknya dengan lebih terperinci.

Untuk versi yang menerima penyegaran terbaharu ini, bahagian yang paling ketara berubah adalah pada bahagian mukanya. Bagi model 2024 ini, ia tampil dengan rekaan lampu hadapan dan gril, bampar kedua-dua fender hadapan dan juga penutup bonet baharu diinspirasikan dari Land Cruiser J40 yang ikonik, digandingkan dengan perincian-perincian moden.

Lampu hadapan 70 Series 2024 ini telah menggunakan teknologi LED, manakala bampar pula nampak lebih lasak dan seperti dipadankan terus pada casis. Manakala rekaan sisi yang bermula dari pintu sehingga belakang adalah masih sama seperti 70 Series sebelum ini, termasuk kemasan liang udara ikoniknya yang berada di bawah cermin tingkap sisi paling belakang.

Untuk bahagian belakang pula, lampu utama yang sebelum ini direka menegak telah di alih pada bampar belakang dan diposisikan secara melintang. Manakala pada panel badan yang sebelum ini menempatkan lampu belakang asal telah ditutup dengan panel kemasan.

Menurut Toyota, model yang dikemaskini ini menampilkan dimensi 4,890 mm panjang, 1,870 mm lebar, 1,920 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,730 mm. Casis ladder frame yang digunakan masih lagi sama seperti sebelum ini tetapi telah dipertingkat bagi memberikan pemanduan atas jalan raya yang lebih selesa dan masih mengekalkan kemampuan meredah laluan off-road.

Pada sebelah dalam, model yang diperbaharui ini menerima rekaan gandingan klasik dan moden. Rekaan papan pemuka nampaknya masih sama seperti unit yang dipadankan pada model pasaran Australia dan Afrika Selatan sebelum ini, tetapi Toyota menyatakan bahawa ia kini menerima sentuhan semula bagi memberikan ergonomik dan praktikaliti lebih baik.

Papan pemuka berkenaan turut didatangkan dengan panel instrumen yang diberikan skrin paparan pelbagai info 4.2-inci. Tiada instrumen digital penuh diberikan, malah enjin juga perlu dihidupkan dengan memutarkan kunci tanpa menggunakan butang.

Konsol tengah Land Cruiser ini dilengkapi dengan skrin sesentuh 6.7-inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto. Pada panel pintu sebelah dalam, bahagian tanpa pelindung dengan warna badan di atas dan juga pelapik pintu masih dikekalkan seperti model klasik, namun bahagian pemegang pintu dengan suis-suis kawalan yang nampak lebih moden.



Model pasaran Jepun ini menerima enjin turbodiesel 1GD-FTV 2.8 liter empat silinder yang sama seperti Toyota Hilux, yang pertama kali dipadankan pada casis ladder frame LC 70 Series ini. Enjin berkenaan menghasilkan kuasa 204 PS dan tork maksima 500 Nm, dan digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan automatik.

Ia turut dibekalkan dengan sistem pacuan empat roda di mana peralihan dari pacuan roda belakang kepada 4WD boleh dibuat menerusi tuil manual yang diletak sebelah tombol gear. Bagi varian lebih tinggi, tuil manual berkenaan diganti dengan suis elektronik.

Untuk pasaran lain seperti Australia, Land Cruiser 70 Series facelift 2023 ini masih ditawarkan dengan pilihan enjin turbodiesel 4.5 liter V8 berkuasa 205 ps/430 Nm bersama kotak gear manual lima kelajuan.

Sistem keselamatan untuk Land Cruiser 70 Series ini juga dipertingkat bagi kekal relevan untuk dijual. Oleh itu Toyota memberikan sistem bantuan pemanduan termaju Toyota Safety Sense (TSS) pada SUV klasik ini yang memberikan fungsi seperti amaran keluar laluan, bantuan pengenal tanda trafik, lampu tinggi automatik dan lain-lain.



























The post Toyota Land Cruiser 70 Series facelift 2024 – casis ladder frame asal, 2.8L Turbodiesel dari Hilux, ada TSS appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *