Nissan Fairlady Z RZ34 Liberty Walk – kit badan lebar ala-Fairlady 240ZG, rim ‘pisang’ RS Watanabe R-Type!

Nissan Z generasi baharu (atau masih dikenali sebagai Fairlady Z untuk pasaran domestik Jepun) dengan kod casis RZ34 seperti yang diketahui menampilkan rupa retro diinspirasikan dari model generasi pertamanya iaitu Datsun 240Z S30Z. Maka dengan itu pengeluar kit badan lebar dari Jepun, Liberty Walk hari ini mendedahkan kit badan khas yang dihasilkan untuk model berkenaan, juga diinspirasikan dari varian khas S30Z iaitu Fairlady 240ZG HS30!

Bagi yang belum mengetahui, Fairlady 240ZG merupakan model homologasi perlumbaan yang dihasilkan pada 1971 bagi membolehkan ia menyertai perlumbaan dalam kategori FIA Group 4 dengan asas aerodinamik dari kilang lebih baik. Oleh itu, model istimewa ini datang standard dengan penutup lampu hadapan, muncung hadapan yang lebih tajam (digelar sebagai G-Nose) untuk lebih aerodinamik, serta fender flare yang dirivet pada badan bagi membolehkan kereta lumba sebenar tampil dengan trek roda lebih lebar.

Pada RZ34, ia sebenarnya sudahpun menampilkan lampu hadapan yang diinspirasikan dari model 240ZG ini. Jadi untuk kit Liberty Walk ini ia bermula dengan bampar hadapan yang direka semula, menampilkan muncung lebih tajam dan rendah, menyerupai 240ZG asli.

Ia kemudiannya disertakan fender flare lebih lebar yang juga dilekat pada fender asal menggunakan rivet, serta spoiler ‘ekor itik’ pada penutup but belakang menyerupai spoiler asli Fairlady 240ZG. Bagi melengkapkan kit badan ini, Liberty Walk turut memberikan bonet hadapan yang direka bersama sepasang sirip dan juga spoiler pada bawah untuk disesuaikan dengan fender yang kini lebih lebar.

Selain itu demo car Liberty Walk ini turut diberikan cermin sisi dengan rekaan retro, serta set rim ‘pisang’ RS Watanabe lapan jejari ‘R-Type’ yang sinonim dengan kereta-kereta klasik Jepun era 60’an hingga 80’an. Dan ia turut dipadankan dengan set suspensi udara yang membolehkan badan kereta ini direndahkan serapat mungkin dengan permukaan jalan, dan boleh ditinggikan semula dengan mudah menggunakan suis kawalan jika diperlukan.

Pengaruh perlumbaan retro turut diberikan pada kabin RZ34 Liberty Walk ini dengan menggantikan set tempat duduk asal kepada set tempat duduk bucket dengan rekaan perlumbaan era 60’an hingga 70’an yang dihasilkan oleh Bride. Ia tidak kelihatan janggal kerana papan pemuka asli RZ34 ini turut diinspirasikan dari papan pemuka S30Z yang menampilkan meter ‘tiga-beradik’ pada bahagian tengah.



Liberty Walk tidak memperincikan ubahsuai unit rangkaian kuasa RZ34 ini. Dalam keadaan standard, Nissan Z baharu ini dibekalkan dengan 400 hp dan tork maksima 475 Nm dari enjin VR30DDTT 3.0 liter V6 dengan pengecas turbo berkembar. Ia ditawarkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan manual atau sembilan-kelajuan automatik, dan kuasa hanya dialirkan ke roda belakang.

Bagi yang berminat dengan kit badan dari Liberty Walk ini, ia sudahpun mula dijual. Set lengkap meliputi bampar hadapan, bampar belakang bonet hadapan, spoiler belakang dan fender flare lebar dijual pada harga 932,800 yen (RM30k) bagi komponen yang diperbuat dari FRP, dan 1,158,300 yen (RM37k) untuk set yang diperbuat dari material karbon CFRP.

Liberty Walk turut menawarkan set yang tidak disertakan dengan fender flare, dijual pada harga 657,800 yen (RM21k) untuk versi FRP, dan 883,300 yen (RM28k) untuk versi dengan komponen karbon CFRP.










The post Nissan Fairlady Z RZ34 Liberty Walk – kit badan lebar ala-Fairlady 240ZG, rim ‘pisang’ RS Watanabe R-Type! appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *