Suzuki V-Strom 1050 tiba di Malaysia – RM78,800

Sebagai pilihan kepada V-Strom 1050DE yang dilancarkan Mei lalu, Suzuki Malaysia kini memperkenalkan versi asas kepada model jelajah tersebut, iaitu V-Strom 1050, dijual pada harga RM78,800 tidak termasuk insurans. Ini menjadikan ia RM10k lebih murah berbanding DE yang dijual pada harga RM88,800.

Perbezaan utama antara dua model ini adalah pada bahagian rim, dengan V-Strom 1050 menggunakan unit aluminium 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang (DE menggunakan jenis spoked 21/17 inci). Suspensi V-Strom 1050 juga mempunyai jarak gerak lebih rendah dan kemudiannya ia tidak mendapat mod tunggangan Gravel (tiga mod lain masih ada).

Enjin adalah sama, iaitu unit v-twin DOHC 1,037 cc, yang dipadankan bersama transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa maksimum sehingga 105.5 hp dan tork 100 Nm pada 6,000 rpm. Dalam keadaan standard, ia diberikan terus dengan quickshifter.

Walaupun boleh dikira sebagai versi yang lebih asas, V-Strom 1050 masih datang dengan pelbagai ciri elektronik termasuk Suzuki Traction Control System (STCS), Motion Track Brake System, Cruise Control System, Hill Hold Control System, Load Dependent Control System, Slope Dependent Control System, Suzuki Easy Start System dan Low RPM Assist.

Berat keseluruhan V-Strom 1050 adalah 252 kg dan ia datang dengan tangki bahan api 20 liter. Dua warna ditawarkan untuk pasaran Malaysia, iaitu biru dan oren, sementara aksesori lain seperti beg barangan, pemanas tangan dan lampu kabus disediakan sebagai pilihan tambahan.





The post Suzuki V-Strom 1050 tiba di Malaysia – RM78,800 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *