Proton, Gentari perkenal pengecas DC 100 kW di COE

Sebagai persediaan pelancaran smart #1 dalam masa terdekat, Proton dengan kerjasama Gentari umumkan pengenalan pengecas pantas DC 100 kW di Pusat Kecemerlangan Proton (CoE) yang terletak di Lebuhraya Kesas. Kemudahan itu, yang dipasang di medan kereta pelanggan di luar bilik pameran Kristal Proton adalah terbuka untuk kegunaan semua pelanggan EV, tidak kira jenama.

“Dengan kemasukan ke pasaran EV Malaysia melalui smart Malaysia tidak lama lagi, sekarang adalah masa yang terbaik untuk Proton mengambil satu lagi langkah positif di dalam segmen yang makin berkembang ini. Kami beruntung mempunyai rakan niaga yang dinamik seperti Gentari, yang telah memasang pengecas DC pertama di lokasi ibu pejabat kami, dan kami teruja untuk teruskan kerjasama ini untuk rangkaian pengedar kami pula selepas ini,” ujar Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah.

Perkembangan ini adalah susulan daripada MoU antara Gentari dan sub-jenama di bawah Proton, Pro-Net pada Oktober tahun lalu, dengan perancangan untuk Pro-Net menyediakan lokasi dan kemudahan kuasa untuk pengecas DC, sementara Gentari bertanggungjawab untuk prasarana pengecasan dan penyelesaian operasi.

Menurut Proton, lima pengecas tambahan DC Gentari dijangka akan dipasang menjelang penghujung 2023 sebagai sebahagian daripada fasa pertama program berkenaan, dengan sasaran 20 pengedar untuk dipasangkan pengecas. Sebagai tambahan, empat pengedar smart Malaysia juga telah dipasangkan pengecas DC daripada penyedia lain menjelang pelancaran smart #1.

The post Proton, Gentari perkenal pengecas DC 100 kW di COE appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *