Cadangan untuk menggabungkan lesen memandu motosikal bagi kelas B2 kepada B secara automatik akan dimuktamadkan akhir tahun ini. Perkara ini disahkan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Aedy Fadly Ramli yang berkata buat masa ini kajian tersebut berada di peringkat akhir penelitian oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) bersama pihaknya.
Pelaksanaan cadangan tersebut dijangka akan dibentangkan kepada Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selewat-lewatnya hujung tahun ini, sebelum pengumuman dilakukan, laporan oleh Bernama .
“Cadangan berkenaan melibatkan dasar dan JPJ menunggu keputusan daripada MOT sebelum ia dibentang untuk dilaksanakan. Setakat ini kementerian belum umumkan apa-apa keputusan, tapi insya-Allah saya rasa tak ada masalah, mungkin dalam tahun ini kita akan umumkan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebarang keputusan berhubung penggabungan lesen berkenaan tidak perlu dibawa ke Dewan Rakyat untuk diluluskan.
Pada Ogos lalu, Ahmad Zahid dilaporkan berkata pihaknya akan membawa cadangan untuk menaik taraf lesen memandu motosikal bagi kelas B2 kepada B secara automatik ke Kementerian Pengangkutan untuk penelitian. Beliau berpendapat tidak ada masalah berhubung cadangan itu kerana penunggang motosikal yang mempunyai lesen B2 memang memiliki pengalaman menunggang kenderaan berkenaan.
The post Cadangan lesen motosikal B2 dinaiktaraf ke kelas B secara automatik dimuktamadkan akhir tahun ini – JPJ appeared first on Paul Tan’s Automotive News.