MY EG Services Bhd (MyEG) dan subsidiari milik penuhnya, MY EG Sdn Bhd (MYEGSB) telah mengumumkan lanjutan kontrak selama tiga tahun lagi dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Di mana Kontrak lanjutan itu bermula 23 Mei tahun ini sehingga 22 Mei 2026.
Menurut MyEG, kedua-dua syarikat itu masing-masing menerima surat pelantikan daripada JPJ hari ini untuk mengesahkan kedua-duanya adalah ‘ejen pemungut bagi penyediaan perkhidmatan pendaftaran kenderaan, pelesenan pemandu dan kenderaan serta pembayaran elektronik perkhidmatan saman untuk tempoh tiga tahun’, laporan Bernama
Tambahnya, anggaran nilai lanjutan itu akan bergantung pada bilangan transaksi yang dilakukan sepanjang tempoh itu.
“Perjanjian mengenai lanjutan kontrak itu akan ditandatangani dan diumumkan oleh syarikat pada masa terdekat,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
MyEG menambah bahawa lanjutan itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham syarikat untuk tahun kewangan 2023 dan seterusnya.
Lanjutan kontrak tersebut bermakna bahawa pemilik kenderaan akan dapat memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu serta pembayaran saman trafik melalui platform MyEG sehingga 2026. Bagaimanapun, semasa pengumuman pada Mei lalu, MyEG tidak lagi menjadi penyedia eksklusif dalam segmennya, kerana kerajaan telah memutuskan untuk membuka peluang tersebut kepada penyedia perkhidmatan lain.
The post MyEG dapat lanjutan kontrak 3 tahun dengan JPJ appeared first on Paul Tan’s Automotive News.