Produksi enjin Wankel Rotary Mazda cecah 2 juta unit; dari Mazda Cosmo Sport 1967 hingga MX-30 R-EV 2023

Selepas berakhirnya produksi kereta sport Mazda RX-8 pada 2012, Mazda kini kembali memproduksi semula enjin Wankel Rotary menerusi penghasilan SUV hibrid Mazda MX-30 R-EV yang diperkenalkan pada awal tahun ini. Dengan kesinambungan ini, Mazda mengumumkan bahawa produksi enjin Wankel Rotary mereka kini sudahpun melebihi 2 juta unit!

Paten asal enjin Wankel Rotary ini sebenarnya adalah milik Dr. Felix Wankel dari Jerman yang dibangunkan pada era 50’an. Namun ia berhadapan dengan beberapa masalah terutamanya masalah pelinciran pada bahagian apex seal di setiap bucu rotor yang menyebabkan enjin tersebut tidak dapat dikomersilkan, tetapi kemudiannya berjaya diselesaikan oleh jurutera Mazda.

Tidak seperti enjin kitaran Otto biasa yang menggunakan omboh bagi menghasilkan putaran pada aci engkol, enjin rotary mengggunakan rotor berbentuk segi-tiga yang berputar dalam perumahnya bagi menyedut udara, menghasilkan mampatan dan letupan kuasa bagi menghasilkan putaran pada roda tenaga.

Dengan rekaan tersebut membolehkan enjin rotary ini menghasilkan kuasa yang besar walaupun dengan kapasiti lebih kecil dari enjin pembakaran dalaman konvensional yang menggunakan omboh. Malah dengan rekaan yang kompak ia turut memberikan kelebihan terhadap prestasi sesebuah kereta itu secara keseluruhan seperti lebih ringan, titik graviti lebih rendah serta memberikan agihan berat hadapan dan belakang yang seimbang.

Mazda meletakkan enjin wankel rotary berkenaan buat pertama kali pada kereta sport pertamanya iaitu Mazda Cosmo Sport (dikenali juga sebagai 110S untuk pasaran eksport) yang dilancarkan secara rasmi di Jepun pada 30 Mei 1967. Cosmo Sport menjadi pencetus kepada model-model sport rotary Mazda yang lain selepas itu dengan Mazda R100 dan diikuti siri RX selepasnya iaitu Capella RX-2, RX-3, RX-4, SA22 RX-7, FC3S RX-7, FD3S RX-7, dan yang terakhir, RX-8.

Ia dipertingkat dari masa ke masa dengan penambahan jumlah rotor dan juga pengecas turbo bagi meningkatkan kadar keberkesanan bahan api dan mengurangkan pelepasan karbon. Namun versi terakhir iaitu enjin Renesis 13B tanpa pengecas turbo dan paling efisien pernah dihasilkan masih terpaksa dihentikan pengeluarannya pada 2012 kerana tidak lagi mampu memenuhi piawaian emisi di Eropah.

Tetapi untuk enjin Wankel Rotary generasi baharu yang digunakan pada MX-30 R-EV, peranan enjin Rotary ini telah pun berubah. Ia bukanlah enjin berkuasa tinggi seperti pada kereta-kereta sport RX terdahulu, sebaliknya ia berfungsi sebagai enjin penambah jarak dengan unit rangkaian kuasa yang dikenali sebagai e-Skyactiv R-EV.



Dalam kata mudah, enjin rotary pada MX-30 ini berfungsi hanya untuk mengecas bateri bateri lithium-ion seperti “generator pasar malam”, sementara roda digerakkan sepenuhnya oleh motor elektrik. Oleh itu, MX-30 R-EV ini dibekalkan dengan enjin Wankel Rotary yang dikenali dengan kod 8C, berkapasiti 830 cc dan mampu menghasilkan 75 PS (74 hp atau 55 kW) tork maksima 116 Nm.

Ia merupakan enjin rotary Mazda generasi baharu dan menggunakan sistem suntikan bahan api terus dan juga perumah rotor yang diperbuat dari aluminium, serta liang kemasukan dan port ekzos seperti enjin 13B Renesis pada Mazda RX-8 masih dikekalkan. Enjin 8C ini menerima apex seal yang lebih tebal dengan ukuran 2.5 mm bagi memanjangkan lagi jangka hayatnya.

Enjin rotary ini masih diletakkan pada bahagian hadapan, sementara bateri lithium-ion dengan kapasti 17.8 kWj diletakkan pada bahagian bawah lantai. Manakala motor elektrik yang memacu roda hadapan pula mampu menghasilkan 170 PS (168 hp atau 125 kW) dan tork maksima 260 Nm – lebih berkuasa tetapi kurang tork berbanding MX-30 EV dengan motor 145 PS (143 hp atau 107 kW) dan 271 Nm.

“Enjin rotary adalah bahagian istimewa dalam sejarah Mazda dan mewakili ‘semangat mencabar yang tiada henti’ kami. Enjin rotary sangat disukai oleh pelanggan di seluruh dunia, dan kami teruja untuk menyambung semula pengeluaran dan melihatnya kembali,” kata pengarah dan pegawai urusan eksekutif kanan Mazda, Takeshi Mukai.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih yang tulus kepada semua pihak yang telah menyokong kami dalam perjalanan ini—khususnya, pelanggan-pelanggan yang telah membeli kenderaan enjin rotary, peminat enjin rotary kami, dan semua rakan kongsi perniagaan kami yang terlibat dalam pembangunan dan pengeluaran. Melangkah ke hadapan, kami akan terus meneruskan ‘semangat mencabar tanpa henti’ ini, menawarkan kenderaan menarik yang menyediakan kami pelanggan dengan pengalaman pemanduan yang menarik walaupun dalam zaman elektrik,” tambahnya lagi.

Pada Japan Mobility Show 2023 yang berlangsung di Tokyo baru-baru ini, Mazda telahpun mendedahkan kereta sport konsep Mazda Iconic SP. Mazda memberitahu bahawa kereta konsep berkenaan menerima enjin rotary dua rotor dan juga motor EV menghasilkan kuasa keseluruhan 370 PS.

Bagaimana sistem berkenaan beroperasi masih belum didedahkan, namun ia mungkin bayangan sebuah sebuah kereta sport RX generasi baharu Mazda kerana dihasilkan dengan banyak perincian diilhamkan dari Mazda RX-7 FD3S, seperti bentuk cermin belakang, pintu dan juga lampu hadapan jenis pop-up!

The post Produksi enjin Wankel Rotary Mazda cecah 2 juta unit; dari Mazda Cosmo Sport 1967 hingga MX-30 R-EV 2023 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *