Mazda telah mengumumkan bahawa produksi untuk SUV CX-8 di Jepun akan ditamatkan pada Disember 2023, selepas hampir enam tahun ia membuat kemunculan sulung global pada September 2017. Pengumuman ini dibuat sehari selepas Mazda Australia membuat kenyataan bahawa pasaran berkenaan tidak lagi akan menerima CX-8 menjelang akhir tahun ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan itu, produksi CX-8 ini dihentikan sebagai salah satu strategi baharu Mazda Australia bagi memperkenalkan model-model baharu dengan teknologi elektrifikasi bermula sekarang hingga 2025. Kenderaan-kenderaan yang dimaksudkan itu termasuk yang menggunakan teknologi hibrid elektrik (HEV), plug-in hybrid (PHEV) dan juga elektrik sepenuhnya menggunakan bateri (BEV).
Walau bagaimanapun, model MX-30 EV turut termasuk dalam senarai model yang akan digugurkan pada pasaran Australia, stok-stok akhir CX-8 dan MX-30 masih akan dijual di negara berkenaan pada suku pertama 2024.
Manakala di Jepun, produksi CX-8 ini dihentikan berkemungkinan besar adalah bagi memberikan laluan kepada model dengan platform pacuan roda belakang baharu Mazda CX-80, iaitu model yang termasuk dalam kumpulan Large Product terbaharu Mazda seperti CX-60 dan CX-90 yang telah pun diperkenalkan.
Namun pemberhentian produksi CX-8 di Jepun ini tidak akan menjejaskan pasaran Malaysia kerana SUV tiga-baris tempat duduk itu terus diproduksi secara pemasangan tempatan (CKD) di Kulim, Kedah sejak ia dilancarkan pada akhir 2019. Kami sudah pun mendapatkan pengesahan dari pengedar rasmi Mazda di Malaysia iaitu Bermaz Motor yang menyatakan produksi CX-8 di sini akan diteruskan sehingga 2026.
Mazda CX-8 CKD ini ditawarkan dalam lima varian di Malaysia (tiga varian dengan enjin petrol NA, satu dengan enjin petrol turbo dan satu turbodisesel), dengan harga atas jalan tanpa insuran bermula RM185,360.40 hingga RM221,360.40.
The post Produksi Mazda CX-8 di Jepun tamat pada Disember 2023 – model CKD Malaysia diteruskan hingga 2026 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.