Kamera keselamatan AWAS akan ditambah di lokasi baharu, penggunaan e-Plate sedang dikaji – MoT

Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang mengkaji penggunaan kamera keselamatan jalan raya baharu yang menggunakan ciri e-Plate sebagai langkah penambahbaikan dan mengurangkan risiko kemalangan di negara ini.

Perkara ini dinyatakan oleh Timbalan Menteri MoT, Datuk Hasbi Habibollah, yang berkata ciri baharu yang terdapat di kamera itu dijangka berupaya mengesan pemandu, lesen kenderaan dan menangkap tahap kelajuan kenderaan, sekali gus memudahkan penguatkuasaan, laporan Bernama.

“Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang meneliti dan menimbang hala tuju baharu berhubung kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS), mungkin akan ditambah kamera ini, tetapi bukan dalam bentuk yang ada sekarang (AWAS), di tempat yang baharu.

“Namun, ia masih dalam kajian untuk melihat siapa pengguna jalan raya yang langgar peraturan dan lesen kenderaan memandu, jadi masa depan akan ditambah lagi ciri lain pada kamera itu untuk dapat menangkap (merakam) kelajuan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini bagi menjawab soalan tambahan Datuk Suhaimi Nasir (BN-Libaran) yang ingin tahu perancangan kerajaan dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di Malaysia.

Beliau menambah, menurut kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mendapati tahap pematuhan pengguna jalan raya di lokasi pemasangan kamera itu mencecah 99%

Pada awal Jun lalu, beliau turut berkata, setakat ini terdapat 45 kamera AWAS atau sebelum ini dikenali sebagai Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang sedang beroperasi dan dikuatkuasakan.

Jelasnya, kamera AWAS bukanlah bertujuan memerangkap pengguna jalan raya, sebaliknya ia bagi memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi peraturan jalan raya terutamanya di kawasan titik hitam di mana nahas kerap berlaku sebelum ini.

Di mana penggunaan kamera AWAS membolehkan aktiviti penguatkuasaan berlangsung 365 hari dan 24 jam sehari dan mengurangkan kebergantungan kepada jumlah tenaga manusia iaitu anggota penguatkuasaan.

The post Kamera keselamatan AWAS akan ditambah di lokasi baharu, penggunaan e-Plate sedang dikaji – MoT appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *