MINI Malaysia telah memperkenalkan secara rasmi MINI Clubman Final Edition, yang bakal menjadi penawaran terakhir model berkenaan dan tidak lagi akan diperkenalkan dalam generasi baru selepas ini. Hanya 1,969 unit yang dikeluarkan untuk seluruh dunia, dengan Malaysia menerima peruntukan sebanyak 20 unit sahaja.
Menggunakan asas dari varian Cooper S untuk Clubman, versi Final Edition ini dijual pada harga RM308,488 atas jalan tidak termasuk insurans. Ini lengkap dengan jaminan dua-tahun standard, dan jika ingin dilanjutkan tempoh berkenaan dengan pakej servisnya sekali, harganya akan menjadi RM318,888.
Harga Final Edition ini lebih mahal RM5,100 berbanding Clubman S, atau RM6,000 lebih mahal dengan lanjutan jaminan dan pakej servis. Antara kelainannya ialah kemasan yang memperingati Clubman pertama yang diperkenalkan pada tahun 1969.
Grilnya hadir dalam kemasan Shimmer Copper, dengan kemasan yang sama dapat dilihat untuk jalur dan di bonet, serta bahagian sisinya. Bahagian sisi ini juga unik, dengan adanya tulisan ‘1969 Final Edition’ sementara di tiang C pula tertera angka ‘1 of 1969’.
Tulisan ‘Final Edition’ juga tertera di beberapa tempat lain, dengan set rim khusus 18-inci Final Edition diberikan. Kemasan hitam berkilat juga dapat dilihat di bahagian lampu utama dan lampu belakang, pemegang pintu dan hujung ekzos. Tiga warna ditawarkan untuk edisi ini — Nanuq White, Melting Silver III dan Enigmatic Black.
Di dalam, kemasan kulit Nappa membaluti stereng yang juga ada lencana ‘Final Edition’. Selain itu, lapik kaki juga tertulis angka ‘1 of 1969’ serta lapik pintu khas model ini. Kerusi pula balutan fabrik sport MINI dan kulit maroon gelap, dengan jahitan kontras. Kemasan lain padanya diberikan penyudah Shimmer Copper atau Enigmatic Black.
Kelengkapan standard Final Edition ini sama dengan varian Cooper S, dengan adanya Comfort Access, kawalan pendingin dua-zon, kamera undur, Parking Assistant, sistem bunyi Harman Kardon dan Driving Assistant (bantuan lampu tinggi, info kelajuan, amaran pejalan kaki dan amaran mendekati objek dengan fungsi brek dalam bandar) serta kawalan melayar dengan fungsi brek adalah ciri standard.
Satu perbezaan yang ada ialah naik taraf skrin sentuh kepada saiz 8.8-inci untuk sistem tunjuk arah MINI yang hadir dengan sokongan Apple CarPlay (sebelum ini saiz 6.5-inci). Tiada perubahan bagi sistem janaan kuasa, dengan enjin 2.0 liter turbocas empat-silinder petrol yang menghasilkan 192 PS (189 hp atau 141 kW) dan 280 Nm tork. Kuasa dihantar ke roda depan melalui transmisi klac berkembar tujuh kelajuan, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.2 saat dan laju maksimum 228 km/j.
Setiap pembeliannya datang dengan program bantuan tepi jalan selama lima-tahun, termasuk dengan talian hotline 24-jam/365 hari setahun, servis tunda percuma, kenderaan gantian, mobiliti mudah, penginapan, servis penyelesaian mobiliti serta servis penghantaran pulang.
The post MINI Clubman Final Edition 2023 diperkenalkan di M’sia — kemasan unik, hanya 20 unit, dari RM308k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.