Proton baru sahaja mendedahkan imej awal untuk sedan segmen-C baharu Proton S70 hari ini, dengan mengesahkan sedikit perincian awalan seperti enjin 1.5 liter Turbo dan juga transmisi klac berkembar automotik tujuh kelajuan 7DCT.
Namun menerusi perbincangan di Facebook Group paultan.org Automotive/Car Discussion, seorang pengguna telah berkongsi slaid pembentangan yang mungkin dari sesi latihan penasihat jualan memaparkan varian-varian untuk S70 ini serta kelengkapan yang dibekalkan.
Menerusi slaid itu dapat dilihat S70 akan ditawarkan dalam empat varian berbeza iaitu 1.5T Executive, 1.5T Premium, 1.5T Flagship dan 1.5T Flagship X. Jadi keempat-empat varian ini nampaknya menggunakan enjin yang sama, berkemungkinan adalah enjin 1.5 liter tiga silinder PFI, tanpa pilihan enjin 1.5T-GDI seperti pada SUV X50 Flagship dan X70 1.5 T-GDI.
Pada X50 dalam varian Premium dan ke bawah, enjin tersebut mampu menghasilkan kuasa 150 PS pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 226 Nm bermula 1,500 rpm hingga 4,000 rpm. Walaupun tidak menerima enjin T-GDI yang menghasilkan 177 PS/255 Nm, enjin pada S70 ini masih jauh lebih berkuasa dari model asal Geely Emgrand yang hanya menerima enjin 1.5 liter NA 114 PS/147 Nm di China.
Untuk kelengkapan, S70 varian 1.5T Executive menerima rim aloi 16-inci dan juga lampu hadapan halogen di sebelah luar. Dalam kabin ia hanya diberikan upholsteri fabrik, meter analog dengan skrin pelbagai informasi monokrom bersaiz 3.25-inci, skrin infotainmen bersaiz 8-inci, sistem cruise control biasa, butang penghidup enjin dan sistem kemasukan pintar tanpa kunci tetapi hanya untuk pintu pemandu.
Untuk keselamatan pula ia menerima sistem asas brek ABS, EBD dan BA serta kawalan traction, bantuan mula mendaki dan enam beg udara. Ia juga diberikan beberapa kelengkapan keselamatan aktif asas termasuk amaran lintasan trafik belakang (RCTA), amaran pelanggaran belakang, amaran buka pintu dan bantuan kekal lorong.
Bagi varian 1.5T Premium pula, lampu hadapan ditingkat taraf dengan lampu LED automatik serta diberikan bar lampu pada penutup but yang bersambung dengan lampu belakang. Dalam kabin pula ciri lebih baik untuk model 1.5T Premium ini hanyalah upholsteri kulit sintetik Leatherette, sementara perincian lain adalah masih sama seperti varian Executive.
Manakala untuk keselamatan, varian 1.5T Premium ini menerima penambahan kamera undur serta penderia parkir di hadapan dan belakang.
Varian 1.5T Flagship pula di lihat menerima perincian hampir paling lengkap. Pada bahagian luar, bermula varian ini S70 menerima rim aloi lebih besar berdiameter 17-inci serta diberikan bukaan induktif untuk but belakang. Dalam kabin meter analog diganti dengan meter digital penuh dengan skrin 10.25-inci berresolusi tinggi 1920 X 720. Manakala pada skrin infotainmen ia diberoperasi dengan sistem Android dan Atlas serta diberikan fungsi arahan suara.
Selain itu ia juga menerima tempat duduk pemandu larasan elektrik dan juga pengecas telefon pintar tanpa wayar, kamera pemantau 360 darjah dan juga sistem pemantau tekanan angin tayar (TPMS).
Untuk keselamatan pula varian 1.5T Flagship ini menerima sistem bantuan pemanduan termaju dengan kebolehan pemanduan autonomi Tahap 2 seperti pada model X90 dengan perincian seperti brek kecemasan automatik, bantuan kekal lorong, cruise control adaptif dengan fungsi stop & go. Walau bagaimanapun pada slaid berkenaan sudah tertulis S70 tidak diberikan sistem bantuan kecemasan mengekalkan lorong dan juga bantuan parkir automatik.
Varian 1.5T Flagship X menerima semua princian yang sama seperti varian Flagship, dan satu-satunya penambahan dibuat pada varian paling mahal ini adalah pemandanan bumbung suria.
Walau bagaimanapun ada beberapa perincian masih belum terjawab. Dalam beberapa imej yang bocor sebelum ini S70 dilihat menampilkan dua jenis gril hadapan yang berbeza iaitu gril dengan elemen rekaan infinite weave seperti pada X50 dan X70 dan juga gril dengan elemen rekaan pin krom/kain songket seperti yang didedahkan menerusi set gambar awalan yang disiarkan hari ini.
Malah sebelum ini turut dapat dilihat S70 mengenakan kit badan yang terdiri dari spoiler bawah bampar hadapan, skirt sisi, diffuser belakang lebih agresif dan spoiler ‘ekor itik’ pada penutup but untuk unit yang menjalani penggambaran iklan.
Pagi tadi Proton telah mengumumkan bahawa tempahan Proton S70 ini sudahpun dibuka di semua bilik pamerannya seluruh negara dengan bayaran RM500. Ia dijangka akan dilancarkan pada bulan ini, dan sebelum ia pelancaran rasminya Proton akan mengadakan sesi pra-tonton di beberapa ibu negeri utama di Malaysia bermula dari 11 November 2023 bagi membolehkan pelanggan yang berminat melihatnya secara lebih dekat.
GALERI: Pilihan warna Proton S70 2023
The post Proton S70 – varian Exec, Premium, Flagship, Flagship X; semua 6 beg udara, ADAS hanya untuk Flagship appeared first on Paul Tan’s Automotive News.