Ingat lagi Perodua Myvi generasi ketiga pasukan JV Motorsport yang menyertai perlumbaan ketahanan Sepang 1000KM (S1K) tahun lalu? Untuk S1K edisi tahun ini, ‘King Myvi’ tersebut disahkan akan kembali berlumba!
Bagi tahun ini beberapa rombakan pasukan dan pelumba telah dibuat, kesemuanya didedahkan dalam majlis perasmian yang dibuat ketika berlangsungnya International Automodified (IAM) 2023 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hujung minggu lalu.
Untuk tahun ini, pasukan yang mengendalikan Myvi tersebut dikenali dengan nama DMM 204 Speedster, diketuai oleh Datuk Dr. Zahari Husin sebagai Prinsipal Pasukan. DMM 204 Speedster terbentuk dari tajaan utama dari DMM Performance iaitu sub jenama wakil penjual Perodua DMM Sales Sdn Bhd, bersama sokongan dari 204 Autoworks dan M’s Racing serta banyak penaja lain.
Dua orang pelumba yang memandu Myvi ini dalam S1K tahun lalu juga telah bertukar posisi di mana Shafiq Rosli ditugaskan sebagai pengarah perlumbaan, dan juara S1K 2018/2019 Fariqe Hairuman a.k.a Wak Tempe kini mengambil tugas sebagai pengarah teknikal perlumbaan.
Satu-satunya pelumba yang kekal adalah Faiz Sulaiman, yang akan dibantu oleh dua orang pemandu baharu iaitu Ashraff Dewal dan Aiman Haziq. Ashraff merupakan seorang pelumba berpengalaman yang pernah memandu kereta lumba GT sebelum ini. Manakala Aiman Haziq pula terpilih menerusi program pencarian pemandu Myvi S1K menewaskan 15 pelumba lain.
Pasukan ini masih menggunakan Myvi yang sama dari perlumbaan tahun lalu yang menerima beberapa kemaskini perincian. Pada sebelah luar ia telah diberikan rekaan grafik badan baharu yang disiapkan oleh Wrap Autowerks. Livery berkenaan menggunakan warna-warna seperti Ocean Green dan Red True Blood yang diispirasikan dari warna korporat Perodua.
Tiada kit aero ekstrim dipadankan pada kereta ini dan ia hanya dipadankan dengan kit badan asal Myvi generasi ketiga pre-facelift dalam varian 1.5 AV. Lampu kabus asal telah dicabut dan diganti dengan corong seakan mengalirkan udara ke ruang roda hadapan.
Cangkuk perlumbaan sentiasa terpasang di bampar hadapan dan belakang dan ia turut menampilkan kill switch pada fender hadapan sebelah kanan bagi memudahkan kerja-kerja recovery sekiranya berlaku apa-apa ketika berlumba di litar.
Rupa Myvi S1K ini dilengkapkan dengan rim 15-inci dari jenama rim aloi ringan tempatan iaitu Raxer Wheels, dibalut dengan tayar Yokohama Advan Neova AD08 R bersaiz 195/50R15. Dan pada roda hadapan, brek asal Myvi telah dicabut bagi digantikan dengan set brek lebih besar bersama angkup empat omboh dari Brembo.
Untuk tahun ini, Myvi S1K ini menerima tajaan sistem suspensi baharu dari satu lagi jenama suspensi prestasi tempatan iaitu Fawster. Selain dari memberikan talaan pengendalian yang diperlukan, set suspensi ini turut dapat merendahkan badan Myvi S1K berkenaan bagi memberikan stance yang lebih agresif.
Bagi melayakkannya untuk bertanding dalam kelas SP2V, Myvi ini masih dijana oleh enjin standard kilang 2NR-VE 1.5 liter Dual VVT-i dengan kuasa asal sekitar 102 hp dan tork maksima 136 Nm. Hanya sedikit ubahsuai yang dibenarkan dalam kategori ini antaranya adalah menukar sistem ekzos dan penuras udara lebih berprestasi dengan kotak udara standard dari kilang masih perlu digunakan.
Ia juga masih menggunakan kotak gear standard automatik empat kelajuan 4AT sama seperti Myvi 2018-2022 yang dibekalkan kilang Akashi Kikai di Sendayan, Negeri Sembilan. Turut dapat dilihat dalam ruang enjin ini termasuk pelbagai komponen asal dari kilang termasuk radiator, kipas penyejuk, hatta sekali dengan pemampat pendingin hawa kerana ia masih lagi ada aircond di dalam kabin.
Selain dari header ekzos yang berkilat bersembunyi di bawah pelindung panas standard, perkara ‘asing’ yang boleh dilihat pada ruang enjin Myvi ini hanyalah pemancut sistem pemadam api yang diwajibkan oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) untuk perlumbaan bertaraf nasional seperti S1K.
Tahan ke gandingan ini dalam pelumbaan nanti? Tak perlulah kami ulas lebih banyak kerana Myvi ini telah terbukti dapat menghabiskan perlumbaan S1K tahun lalu dengan ‘dilanyak’ selama 8 jam 35 minit, dan berjaya menduduki kedudukan ke-10 dalam kelas SP2 V dan tempat ke-38 dari 68 kereta secara keseluruhan, bersaing dengan model-model yang jauh lebih kompetitif seperti Suzuki Swift dan Honda Jazz!
Myvi S1K ini turut menerima beberapa kemaskini untuk bahagian kabin. Ia kini nampak lebih kemas kerana tiada lagi gugusan meter tambahan di bahagian atas tengah papan pemuka, skrin android yang sebelum ini dihubungkan kepada soket OBDII kotak komputer enjin juga telah dicabut dan digantikan dengan radio asal, serta kill switch telah dialih dari bahagian bawah ke atas.
Untuk mengetahui segala maklumat dari meter-meter tambahan dan skrin android sebelum ini yang sudahpun ‘dilupuskan’, pemandu kini menerima sistem paparan yang lebih canggih iaitu Racing Dash keluaran Ecu Master yang dibekalkan oleh RnR Autosport.
Tempat duduk pemandu OMP dari tahun lalu juga nampaknya telah ditukar menggunakan tempat duduk perlumbaan yang dibekalkan oleh Recaro Malaysia. Kesemua karpet dan pelapik bumbung serta semua tempat duduk asal telah dicabut keluar bagi dipadankan dengan set rollcage – bukan sebarang rollcage, tetapi ia merupakan rollcage yang dibina menepati piawaian FIA seperti yang disyaratkan untuk perlumbaan berkelas nasional.
Perincian keselamatan lain yang turut kelihatan pada kabin Myvi S1K DMM 204 Speedster ini termasuk tali pinggang perlumbaan dari Beltenick serta pemadam api di sebelah pemandu yang diperlukan sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini.
Perlumbaan Sepang 1000KM 2023 bakal berlangsung pada akhir bulan ini iaitu pada 23 hingga 26 November. Dengan pengalaman yang telah dikutip pada tahun lalu, Myvi S1K ini berpotensi untuk mencatatkan keputusan lebih baik dalam perlumbaan tahun ini!
The post Perodua Myvi DMM 204 Speedster kembali berlumba di Sepang 1000KM tahun ini dengan sasaran sama! appeared first on Paul Tan’s Automotive News.