Chery Omoda 5 EV ditemui di Malaysia – unit CBU akan dilancar tahun depan, 224 PS, jarak gerak 450 km

Chery Malaysia sebelum ini sudah mengesahkan bahawa Omoda 5 EV akan dilancarkan di negara kita tahun depan, dan nampaknya mereka sedang bersiap sedia untuknya. Seorang pembaca paultan.org, Andy Chan telah menghantar beberapa gambar SUV elektrik tersebut, yang dilihat berada atas treler dan dikatakan semuanya adalah unit pemanduan sebelah kanan.

Ini sebenarnya bukanlah kali pertama kami melihat Omoda 5 EV versi pemanduan sebelah kanan, kerana sebelum ini ia sudah berada di pameran Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) beberapa bulan lalu. Di sana, pelanggan sudah boleh membuat tempahan untuk EV tersebut.

Untuk pasaran kita, Omoda 5 EV akan tiba sebagai unit yang diimport sepenuhnya (CBU) dan kita masih belum mengetahui sama ada ia kemudiannya akan dipasang di dalam negara (CKD) ataupun tidak. Model Omoda 5 biasa yang berada dalam pasaran kita sekarang dipacu oleh enjin petrol turbo dan dilancarkan sebagai sebuah model CKD Julai lalu.

Berkenaan spesifikasi, Omoda 5 EV akan menggunakan motor elektrik yang terletak di hadapan, berkuasa 224 PS (221 hp atau 165 kw), dan mendapat kuasa daripada bateri lithium ion 61 kWh. Chery memberitahu, SUV ini boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.8 saat dan menggunakan 15 kWh bagi setiap 100 km.

Bateri ini dikatakan dapat membantu kenderaan untuk pergi 450 km dengan sekali cas penuh berdasarkan standard CLTC yang berbeza berbanding NEDC dan WLTP. Untuk pengecasan pula, melalui cas pantas DC, baterinya boleh naik 0-80% dalam masa 35 minit.

Antara cara mengenal pasti Omoda 5 EV ini berbanding versi biasa adalah mukanya, yang menggunakan gril tertutup. Selain daripada itu, ia juga tidak menggunakan logo Chery dan mempunyai tulisan Chery di atas hud, dan dilengkapi dengan rim dua tona.

GALERI: Chery Omoda 5 EV di GIIAS 2023










The post Chery Omoda 5 EV ditemui di Malaysia – unit CBU akan dilancar tahun depan, 224 PS, jarak gerak 450 km appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *