Ford Ranger Platinum 2023 di M’sia — dari RM184k; lampu LED Matrix, rak fleksibel, kluster digital 12.4-inci

Pengedar kenderaan Ford di Malaysia, Sime Darby Auto Connexion (SDAC) hari ini memperkenalkan dua penawaran terbaru bagi barisan kenderaan yang dijual di sini. Dua model berkenaan ialah Ford Ranger Platinum dan juga Ford Everest Wildtrak Special Edition. Dua tambahan terbaru ini masing-masing dijual pada harga RM183,888 dan RM338,888 atas jalan dan tidak termasuk insurans di Semenanjung.

Ford Ranger Platinum merupakan penawaran varian terbaru bagi trak pikap popular berkenaan, dengan sentuhan lebih mewah dan premium. Antara yang membezakannya daripada penawaran Ranger sedia ada sebelum ini ialah rim 20-inci dan lampu utama LED Matrix yang pertama kali diberikan untuk Ranger, begitu juga dengan rekaan gril khusus serta yang paling menarik, sistem rak fleksibel disertai landasan bumbung Swing-in-Place dan ciri Power Roller Shutter.

Untuk bahagian dalaman, antara pertambahan ciri yang diberikan termasuk kerusi balutan kulit premium dengan liang aliran udara (pertama kali diberikan untuk Ranger) dengan tiga tetapan memori. Selain itu, kluster instrumen digital bersaiz 12.4-inci juga ada, dan skrin infotainmen 12-inci dengan perisian SYNC 4A terkini.

Sistem hiburan ini juga disudahi dengan sistem audio Bang & Olufsen. Kabin juga hadir dengan lampu suasana, ada juga ciri e-Shifter dan Bantuan Parkir Aktif 2.0.

Sebagai lanjutan bagi penawaran Ranger generasi terkini, ia menggunakan enjin diesel 2.0L Bi-Turbo yang menghasilkan 210 PS dan 500 Nm tork, dengan kuasa disalurkan menerusi sistem pacuan empat roda dengan kawalan elektrik, dengan transmisi automatik 10-kelajuan dan e-Shifter.



Model terbaru ini juga didatangkan dengan pilihan warna baru eksklusif hanya untuk varian Platinum, iaitu Equinox Bronze.

Ford Ranger Platinum ini didatangkan dengan jaminan pengeluar selama lima tahun atau 160,000 km. Jaminan ini juga boleh dilanjutkan kepada enam atau tujuh tahun atau sehingga 40,000 km lagi melalui program Premium Care (EWS). Selain itu, Ford juga menawarkan pilihan untuk Pelan Perkhidmatan Lanjutan (ESP) bagi kedua-dua model tersebut.
































































The post Ford Ranger Platinum 2023 di M’sia — dari RM184k; lampu LED Matrix, rak fleksibel, kluster digital 12.4-inci appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *