Lebuhraya Setiawangsa-Pantai dilancar secara rasmi – tol percuma hingga 11.59 malam pada 2 Dis 2023

Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) telah pun dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Tinggi pagi tadi. Ia melibatkan baki jajaran sepanjang 16.3 kilometer bermula dari Setiawangsa ke Kerinchi yang dibuka secara rasmi kepada pengguna jam 11:59 malam ini. SPE sebelum ini dikenali sebagai Lebuhraya Duta-Ulu Kelang Fasa-3 (DUKE Fasa-3) akan merentasi utara ke selatan Kuala Lumpur.

Antara objektif SPE adalah menyediakan laluan alternatif kepada pengguna jalan raya dengan sistem trafik yang lebih baik di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur dan meningkatkan kesalinghubungan dengan lebuh raya serta pengangkutan rel awam sedia ada seperti KTM Komuter, LRT dan MRT.

“Saya amat berbesar hati mengumumkan tol percuma selama 30 hari sehingga 2 Disember 2023, jam 11.59 malam di Plaza Tol Chan Sow Lin, Plaza Tol Ampang (dari Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur AKLEH menuju ke SPE) dan Plaza Tol Setiawangsa (arah Selatan dan Utara),” katanya menerusi majlis pelancaran SPE. Walau bagaimana pun, beliau tidak mengumumkan kadar tol di SPE selepas tempoh tol percuma berakhir.


Lebuhraya sepanjang 29.8 km ini menghubungkan Taman Melati dan Klang Gates dari Lebuhraya MRR2 ke Kerinchi Link berhampiran Pantai dan Universiti Malaya. SPE juga diharap memberikan manfaat buat penduduk sekitar Gombak, Taman Melati, Genting Klang, Setiawangsa, Wangsa Maju, Ampang, Kampung Pandan, Bandar Malaysia, Kerinchi dan Pantai.

Ia mula dibina sejak tahun 2016 dan dikendalikan oleh syarikat konsesinya, Ekovest Bhd. melalui anak syarikat milik penuhnya, Lebuhraya DUKE Fasa 3 Sdn. Bhd. Syarikat ini telah menandatangani perjanjian konsesi dengan kerajaan bagi pembinaan lebuhraya tersebut yang bernilai RM3.738 bilion bagi tempoh konsesi selama 53 tahun enam bulan.

Lebuhraya SPE ini dibahagikan kepada empat seksyen utama iaitu Kerinchi – Salak (Seksyen 1), Salak – Pandan (Seksyen 2), Pandan – Setiawangsa (Seksyen 3) dan juga Setiawangsa – Taman Melati (Seksyen 4) dengan jarak keseluruhan sepanjang 20.7 km, laluan 3 lorong dua hala dan 7 persimpangan bertingkat.


Klik untuk besarkan imej jajaran Lebuhraya Setiawangsa-Pantai

Sebahagian jajaran Lebuhraya SPE iaitu Seksyen 4 (Setiawangsa – Taman Melati) sepanjang 4.4 km telah dibuka kepada pengguna pada 21 Disember 2021.

Berdasarkan kajian yang telah dibuat oleh pihak perunding trafik, lebuh raya ini dijangka mampu mengurangkan sehingga 30% masalah kesesakan lalu lintas yang sering dihadapi pengguna terutamanya pada waktu puncak melibatkan laluan ke utara, timur, barat dan selatan Kuala Lumpur untuk masuk dan keluar dari Pusat Bandaraya Kuala Lumpur.

Pembukaan sepenuhnya Lebuhraya SPE ini, pastinya akan membawa impak signifikan terhadap usaha Kerajaan untuk membantu menyuraikan trafik bagi Bandaraya Kuala Lumpur selain usaha menaik taraf kemudahan infrastruktur untuk keselesaan rakyat setempat.



Sebagai contoh, tempoh perjalanan pada waktu puncak dari Kerinchi ke Taman Melati, Gombak dan sebaliknya dijangka akan mengambil masa hanya 35 minit sahaja berbanding dengan laluan sedia ada yang mengambil masa selama 1 jam 30 minit.

Malahan hari ini, Lebuhraya SPE telah menerima penganugerahan “Malaysia Book of Records” (MBOR) bagi dua kategori binaan iaitu Longest Double Deck Carriageway on Single Pier Structure (Dual Direction) sejauh 2.104 km dan Longest Elevated Land Bridge sejauh 20.686 km.

Dalam masa yang sama, KKR turut menasihati semua pengguna Lebuhraya SPE agar sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan memastikan supaya tidak memberhentikan kenderaan di tepi lebuh raya untuk mengambil gambar atau berswafoto. Ini boleh membahayakan bukan saja diri sendiri malah pengguna lebuh raya yang lain juga.




















The post Lebuhraya Setiawangsa-Pantai dilancar secara rasmi – tol percuma hingga 11.59 malam pada 2 Dis 2023 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *