Proton telah umumkan yang jualan bagi model SUV X50 kini telah melepasi angka 100,000 unit (100,210 unit setepatnya menurut Proton) sejak pengenalannya 36 bulan lalu. Ini menjadikannya model SUV segmen B paling popular di negara ini.
Proton juga mendakwa ini adalah masa terpendek yang diambil oleh mana-mana SUV untuk mencapai tahap itu di Malaysia; sebagai SUV paling laris di sini. Ini dicapai selepas 2,021 unit X50 diserahkan kepada pelanggan pada Oktober, menjadikan jumlah jualan keseluruhan model terbabit tahun ini ialah 26,981 unit setakat ini.
Proton X50 bermula dengan jualan agak perlahan pada 2020, dengan hanya 3,783 unit dicatatkan bagi tempoh sejak dilancarkan pada 27 Oktober hingga hujung tahun tersebut. Pelanggan ketika itu perlu menunggu lama untuk mendapatkan kenderaan. Pengeluaran kemudiannya rancak pada 2021 dan 2022, dengan jualan masing-masing mencecah 28,774 unit dan 40,681 unit (dengan jumlah ini ialah 100,223 unit sebetulnya).
Bagaimanapun, X50 sudah perlu diberikan pembaharuan, melihat kepada model Geely Binyue/Coolray yang menjadi asasnya sudah pun diberikan kemaskini beberapa kali. Jualan X50 juga kembali ke corak perlahan selepas tahun 2022.
The post Jualan Proton X50 lepasi 100,000 unit dalam 3 tahun — jadi SUV paling laris dalam masa singkat di Malaysia appeared first on Paul Tan’s Automotive News.