Maxus MIFA 9 dilancar di Malaysia – RM270k-RM290k, MPV EV premium 7-tempat duduk, jarak gerak 435km

Sehingga kini sudah pelbagai model EV masuk ke Malaysia, dari kereta sport, SUV hingga ke hatchback kompak. Dan hari ini buat pertama kali pasaran tempatan diperkenalkan dengan MPV EV – ini dia Maxus MIFA 9 dilancarkan di Malaysia secara rasmi.

Weststar Maxus menawarkan dua varian MIFA 9 ini di Malaysia bermula dengan varian asas Luxury yang dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM269,888, manakala varian tertinggi Premium berharga RM289,888. Weststar turut mengumumkan bagi 100 pelanggan pertama yang membeli MPV EV ini akan menerima pengecas AC 22 kWj secara percuma.

Setiap pembelian MPV ini akan diberikan waranti pengeluar selama lima-tahun atau 100,000 km. Manakala untuk bateri, ia diberikan perlindungan waranti lebih lama iaitu selama lapan-tahun atau 200,000 km.

Maxus MIFA 9 ini menampilkan dimensi panjang 5,270 mm, lebar 2,000 mm, tinggi 1,840 mm dan jarak roda sejauh 3,200 mm. Dengan saiz ini membolehkan MIFA bertanding terus dengan Toyota Alphard dan Vellfire, malah jarak rodanya juga adalah 200 mm lebih jauh dari kedua-dua MPV mewah Jepun itu.

Kedua-dua varian menerima unit rangkaian kuasa dan bateri yang sama. Ia digerakkan motor berkuasa 180 kW (245 PS) dan tork maksima 350 Nm bagi memacu roda hadapan, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9.2 saat dan mencatatkan kelajuan maksima 180 km/j.

Kuasa dibekalkan dari bateri berkapasiti 90 kWj, namun jarak gerak bagi kedua-dua varian adalah berbeza – Luxury boleh dipandu sejauh 435 km (kitaran gabungan WLTP), manakala Premium pula boleh bergerak sejauh 430 km dengan satu cas penuh.

Ia boleh menerima sistem pengecas DC dengan kadar maksimum 120 kW, membolehkan cas 30-80% dipenuhkan dalam masa 30 minit. Dengan pengecas AC 11 kW pula, bateri tersebut boleh dipenuhkan dari 5% ke 100% dalam masa 8.5 jam.

Walaupun ia tidak dijana oleh enjin konvensional, MIFA 9 ini direka dengan muncung hadapan yang agak panjang. Kedua-dua varian ini menerima perincian luaran seperti lampu hadapan dan belakang, lampu nyalaan siang dan lampu belakang semua dengan teknologi LED, cermin sisi dengan pemanas dan memori serta set rim berdiameter 19-inci (berlainan rekaan bergantung varian) dengan tayar 235/55R19. Namun varian Premium diberikan tayar jenis run-flat.

Secara keseluruhan, MIFA 9 ini menampilkan konfigurasi tujuh tempat duduk untuk kedua-dua varian, dan menampilkan kabin berwarna hitam, bumbung suria di hadapan dan belakang, serta roda stereng yang dibalut dengan kulit gentian mikro. Bagi varian Luxury, MIFA 9 ini diberikan upholsteri kulit polyurethane dan PVC serta tempat duduk hadapan larasan kuasa (8 hala pemandu, 4 hala penumpang).



Manakala untuk varian Premium, ia diberikan perincian seperti pemanas pada roda stereng, upholsteri kulit sebenar dan kulit PVC, fungsi liang udara, pemanas dan pengurut untuk tempat duduk hadapan dan fungsi memori untuk tempat duduk pemandu.

Pada baris kedua, kedua-dua varian diberikan tempat duduk pilot larasan berkuasa dengan fungsi pemanas, liang penyejuk dan pengurut, serta perehat kaki dan perehat tangan larasan kuasa enam-hala. Khas untuk varian Premium, tempat duduk baris kedua ini hadir dengan rekaan lebih mewah.

Kedua-dua varian menerima paparan instrumen digital penuh dengan skrin tujuh-inci, manakala di tengah papan pemuka diberikan skrin utama 12.3 inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto. Sistem pengecas tanpa wayar dibekalkan untuk penumpang hadapan, manakala di kabin belakang setiap baris tempat duduk diberikan port pengecas USB. Port kuasa 220 Volt turut di tempatkan di baris ketiga bagi membolehkan peralatan elektrik lebih berkuasa digunakan.



Kabin bagi varian Luxury dan Premium turut diberikan lampu suasana 64-warna, serta lampu pada bendul pintu hadapan dan belakang. Bagi membezakan varian, model Luxury diberikan lapan-pembesar suara manakala Premium pula diberikan 12-pembesar suara untuk sistem audio.

Perincian lain seperti kedua-dua pintu gelangsar belakang berkuasa elektrik, pintu tailgate bantuan kuasa, pemegang pintu bersaiz penuh pada tiang-B, cermin keselamatan berwarna kelabu, pengecas telefon pintar tanpa wayar, sistem penghawa dingin automatik untuk kabin hadapan dan belakang bersama pembersih adalah standard untuk kedua-dua varian.

Untuk keselamatan pula MPV ini menerima enam-beg udara, tiga cagak tempat duduk Isofix, kamera panaromik 360 darjah, pemantau titik buta 360 darjah, cruise control adaptif, brek kecemasan automatik, amaran lintasan trafik belakang dan bantuan kekal lorong. Varian Luxury menerima cermin pandang belakang anti-silau, manakala varian Premium diberikan cermin pandang belakang jenis digital.

Enam warna badan ditawarkan untuk Maxus MIFA 9 pasaran Malaysia ini iaitu Mica Blue, Concrete Grey, Snow Cyan, Pearl Luster White, Dynasty Red dan Hitam.










GALERI: Gambar rasmi Maxus MIFA 9 2023








































The post Maxus MIFA 9 dilancar di Malaysia – RM270k-RM290k, MPV EV premium 7-tempat duduk, jarak gerak 435km appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *