Selepas dipamerkan semasa Kuala Lumpur Bike Show (KLBS) 2023 Ogos lalu, Suzuki Gixxer 250 dan 250SF kini dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia. Harga yang ditetapkan untuk Gixxer 250 adalah RM14,500, sementara Gixxer 250SF disediakan dalam dua versi, iaitu Metallic Matte pada harga RM15,200 dan GP Edition pada harga RM15,500.
Gixxer 250 dan Gixxer SF250 dipacu oleh enjin satu silinder SOHC satu silinder 249 cc dengan sistem penyejukan cecair dan suntikan bahan api, dipadankan bersama dengan transmisi enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa 26.5 PS pada 9,300 rpm dan 22.2 Nm tork pada 7,300 rpm.
Beza antara keduanya cuma pada bentuk badan di mana Gixxer 250 menggunakan rekaan sebuah motosikal naked sementara Gixxer SF250 mendapat bentuk yang lebih sporty dengan panel penuh. Selain tapak pemegang, bahagian lain dua motosikal ini kebanyakannya adalah sama.
Brek cakera hadapan dan belakang motosikal ini datang secara standard dengan ABS, dan kelengkapan lain yang disediakan adalah seperti fork teleskopik dan monoshock di belakang, lampu hadapan dan belakang LED, rim 17 inci dengan tayar 110/70 di hadapan dan 150/60 di belakang, tangki bahan api 12 liter serta berat keseluruhan 161 kg.
Selain Gixxer 250SF yang datang dalam dua versi, Gixxer 250 juga disediakan dalam dua pilihan warna, iaitu biru metalik, sebagai tambahan kepada pilihan warna hitam matte. Jaminan yang diberikan adalah dua tahun atau 20,000 km.
The post Suzuki Gixxer 250 dan 250SF dilancar di Malaysia – enjin 249 cc 26.5 PS, harga bermula RM14,500 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.