Proton mengesahkan bahawa 93 peratus SUV segmen-D X90 yang telah dijual kepada pelanggan telah pun selesai dipanggil semula bagi memperbaiki masalah sambungan pembumian (grounding) kepada badan kereta yang boleh menyebabkan berlakunya kebakaran.
“Ada kira-kira 3,000 yang telah kita jual, sehingga kini pun pasukan kita sedang menjejak baki pemilik X90 bagi membuat janji temu untuk pembaikan model tersebut,” kata Naib CEO Proton Roslan Abdullah dalam laporan Bernama.
Proton mengesan masalah ini menerusi siasatan terhadap sebuah X90 yang tiba-tiba terbakar pada Ogos lalu. Masalah sambungan pembumian pada badan kereta tersebut telah menyebabkan berlakunya pemanasan melampau pada bahagian hubungan itu apabila arus elektrik dengan kadar besar terus melaluinya. Akibatnya, ia turut memanaskan bahan penebat bunyi yang berada berhampiran, seterusnya memulakan kebakaran.
Sebagai langkah pencegahan, semua pemilik Proton X90 akan dihubungi secara peribadi oleh pusat-pusat 3S dan 4S Proton bagi membolehkan semua unit-unit berkenaan diperiksa semula. Selepas pemeriksaan dibuat, langkah pembaikan akan dibuat oleh pusat servis sekiranya perlu bagi mengelakkan terjadinya apa-apa risiko kebakaran.
Pemilik-pemilik Proton X90 juga boleh menghbungi sendiri pusat 3S atau 4S terdekat bagi membuat temujanji pemeriksaan ini, atau hubungi talian bantuan Proton menerusi nombor 1-800-88-8398 bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut. Selain itu, Proton dan juga vendor-vendornya telah mengambil langkah pencegahan dengan menambah baik proses kawalan pembekalnya dan pemeriksaan-pemeriksaan selepas ini pada barisan produksi Proton X90.
The post Isu Proton X90 terbakar – 93 peratus dari sekitar 3,000 unit telah selesai pembaikkan panggilan semula appeared first on Paul Tan’s Automotive News.