UMW Toyota jual 10,931 unit kenderaan pada Okt 2023

UMW Toyota Motor Malaysia (UMWT) mencatatkan jualan sebanyak 10,931 unit pada bulan Oktober 2023, sekaligus merekodkan jumlah tertinggi dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Dalam kenyataan yang dihantar, UMWT berkata, jumlah berkenaan merangkumi sebanyak 10,709 unit Toyota dan 222 unit Lexus. Bagi jumlah jualan setakat ini, untuk 10 bulan tahun 2023, sejumlah 87,422 unit telah berjaya dirakodkan, berbanding 80,153 unit pada tempoh yang sama tahun lalu. Menunjukkan peningkatan sebanyak 9.1% tahun ke tahun dalam tempoh tersebut.

Bagi fasiliti pengeluarannya di Bukit Raja dan Shah Alam, menurut UMWT, ia akan dipertingkatkan bagi membuktikan komitmen UMWT untuk menambah baik proses pengeluaran model pemasangan tempatan (CKD), sekaligus memperkemaskan operasi dan meningkatkan kapasitinya.

Selain itu, UMWT berkata, pengintegrasian teknologi termaju dan amalan mampan di kedua-dua kemudahan, menunjukkan komitmen dan dedikasi syarikat ini terhadap kaedah pengeluaran yang bertanggungjawab dan efisien, menetapkan standard baharu dalam industri automotif.


Mengenai potensi segmen kenderaan serba guna (MPV), Toyota Alphard dan Vellfire 2023, Presiden UMWT Datuk Ravindran Kurusamy berkata kedua-dua MPV mewah ini adalah lambang inovasi dan kecanggihan dalam landskap automotif yang sentiasa berkembang.

“Kedua-dua MPV mewah ini menetapkan standard baharu bagi kemewahan dan prestasi dalam segmen MPV, mencerminkan komitmen kami untuk menyediakan kenderaan istimewa yang melebihi jangkaan,” katanya.

MPV mewah tujuh-tempat duduk Vellfire 2.5L 2024 ditawarkan pada harga atas jalan bermula RM438,000 tanpa insurans, menjadikannya RM100k lebih murah berbanding ‘kembarnya’, Alphard 2.4T 2024 yang berharga bermula RM538,000 tanpa insurans.

Mengenai promosi untuk bulan November, UMWT turut menawarkan pembiayaan 100% bagi model terpilih dengan manfaat sehingga RM15,000 disediakan untuk pelbagai model Toyota termasuk Vios dan Yaris.

The post UMW Toyota jual 10,931 unit kenderaan pada Okt 2023 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *