Lynk & Co Cyan Racing gondol gelaran juara kategori pengeluar Kejohanan Touring Car Dunia buat kali ke-4

Pasukan Lynk & Co Cyan Racing berjaya memuktamad gelaran juara dunia bagi kategori pengeluar dalam Kejohanan Touring Car Dunia TCR World Tour untuk musim 2023, selepas berakhirnya tiga perlumbaan untuk pusingan ke-8 kejuaraan tersebut yang berlangsung di Litar Mount Panorama, Bathurst, Australia hujung minggu lalu.

Ini membolehkan pasukan Sweden yang menggunakan jentera dari China berkenaan memberikan tumpuan kepada pemandu utamanya, Yann Ehrlacher untuk sekali lagi bergelar juara dunia bagi kategori pelumba di pusingan terakhir yang akan berlangsung di Macau pada hujung minggu ini.

Dengan keputusan berkenaan, Cyan Racing kini merangkul enam kejuaraan pengeluar bagi kejuaraan ulung Touring Car Dunia (WTCC, WTCR dan kini dikenali sebagai TCR World Tour) iaitu pada 2017, 2018, 2019, 2020, 2021 dan 2023, sepanjang tujuh-tahun penyertaannya dalam kelas itu. Dan ini merupakan gelaran keempat dirangkul menggunakan jentera Lynk & Co 03 TCR.


Dalam perlumbaan di Bathurst ini, Race 1 dimenangi oleh pelumba Cyan Racing iaitu Santiago Urrutia, sementara dua pemandu pasukan tersebut, Yann Ehrlacher dan Thed Bjork masing-masing berada dikedudukan ke-4 dan ke-5. Untuk Race 2, Bjork mencatatkan keputusan terbaik untuk Cyan Racing dengan berada di tempat ketiga. Manakala dalam Race 3, Cyan Racing jelas mendominasi perlumbaan dengan Ehrlacher berada di tempat pertama diikuti Bjork di tempat kedua.

“Kami benar-benar perlu bertarung untuk kejayaan kali ini, tetapi saya sangat bangga dengan semua orang dalam pasukan yang telah merealisasikan semua ini dan saya tak tahu ada pasukan lain dalam dunia yang boleh menghasilkan rekod seperti ini dalam tempoh tujuh-tahun kebelakangan ini,” kata pengurus pasukan Cyan Racing, Fredrik Wahlén.

“Tetapi kami tak boleh berehat lagi dalam pelbagai cara, sekarang fokus kami tertumpu kepada saingan sangat sengit untuk gelaran pemandu untuk pusingan akhir di Macau kurang seminggu dari sekarang!” tambahnya lagi.

Buat masa sekarang Yann Ehrlacher mendahului carta pungutan mata untuk kejuaraan pemandu TCR World Tour 2023, namun dia berkongsi kedudukan berkenaan dengan pemandu pasukan Audi Sport Comtoyou, Rob Huff dengan 384 mata.

“Kami telah mengejar keputusan ini untuk tempoh masa yang lama, dan untuk memuktamadkan kemenangan dan gelaran untuk pasukan serentak memberikan perasaan yang menakjubkan, saya ucapkan terima kasih banyak-banyak kepada semua orang dalam pasukan. Lynk & Co 03 TCR memberikan prestasi yang sangat baik dalam keseluruhan hujung minggu, sekarang kita akan berusaha sepenuhnya di pusingan akhir di Macau,” kata Ehrlacher.

Yann Ehrlacher merupakan juara dunia WTCR musim 2020 dan 2021 dengan memandu Lynk & Co 03 TCR pasukan Cyan Racing ini. Tahun lalu dia dan pasukan tersebut terpaksa menarik diri dari perlumbaan berkenaan kerana masalah pada tayar yang dibekalkan oleh Goodyear yang tidak mampu bertahan dengan jentera Lynk & Co 03 TCR tersebut.

“Ini merupakan hari dan pencapaian yang menakjubkan untuk Cyan Racing, seterusnya menjadikan mereka sebagai salah satu pasukan Touring Car terbaik di dunia. Semua orang di belakang pembinaan kereta lumba Lynk & Co 03 TCR di Geely Group Motorsport ingin mengucapkan tahniah kepada pasukan dan mengucapkan yang terbaik untuk perlumbaan akhir di Macau,” kata Alexander Murdzevski Schedvin, Ketua Geely Group Motorsport International.

The post Lynk & Co Cyan Racing gondol gelaran juara kategori pengeluar Kejohanan Touring Car Dunia buat kali ke-4 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *