Gentari Hydrogen, anak syarikat milik penuh Gentari (divisi tenaga bersih Petronas), bersama-sama Asahi Kasei dan JGC Holdings, mengumumkan hasil kajian kebolehlaksanaan terperinci untuk pengeluaran sehingga 8,000 tan hidrogen hijau setiap tahun menggunakan sistem elektrolisis air alkali kelas 60 MW (megawatt).
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan, ketiga-tiga pihak juga telah menandatangani memorandum persefahaman (MOU) untuk kajian reka bentuk kejuruteraan awalan (FEED) untuk projek itu, yang disokong oleh Dana Inovasi Hijau untuk Pembangunan Sistem Elektrolisis Air Beralkali Berskala Besar dan Projek Loji Kimia Hijau oleh Pertubuhan Pembangunan Teknologi dan Tenaga Baharu Jepun (NEDO).
Kajian FEED tersebut dijadualkan akan bermula pada Januari 2024, dengan operasi dirancang bermula pada 2027. Projek berskala komersial itu dikatakan menunjukkan komitmen syarikat untuk mempromosikan hidrogen hijau dalam pasaran serta mewujudkan asas untuk pengeluaran hidrogen hijau serantau, selaras sasaran penyahkarbonan yang ditetapkan di Jepun, Malaysia dan di seluruh Asia Tenggara.
“Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan kedua-dua syarikat ini dalam projek yang akan menunjukkan kepada dunia aplikasi praktikal hidrogen hijau. Pengalaman Asahi Kasei daripada eksperimen demonstrasi di Jerman dan menguruskan elektroliser 10 MW di Jepun selama lebih tiga tahun akan memainkan peranan penting dalam kejayaan projek ini,” kata Nobuko Uetake, ketua pegawai eksekutif Asahi Kasei dan pengurus besar kanan Projek Green Solution syarikat tersebut.
“Kerjasama strategik antara Gentari, Asahi Kasei dan JGC ini meningkatkan nilai untuk semua yang terlibat. Projek itu wujud sebagai pemangkin untuk memajukan ekonomi hidrogen Malaysia ke arah mencapai sasaran hidrogen hijau sebanyak 200,000 tan setahun menjelang 2030, sejajar dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara dan Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen,” kata ketua pegawai hidrogen Gentari, Michele Azalbert.
Beliau turut memberitahu, selain dari projek ini Gentari turut sedang membangunkan projek hidrogen dengan entiti negara dan negeri untuk “meletakkan Malaysia sebagai hab hidrogen terkemuka di rantau ini, memanfaatkan aset Petronas dan kelebihan strategik negara.”
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas usaha memuktamadkan MOU ini. Kumpulan JGC kini sedang membina kemudahan demonstrasi pengeluaran ammonia bersih bersebelahan dengan elektrolisis Asahi Kasei di Namie-machi, Wilayah Fukushima, Jepun, bersama-sama dengan sistem kawalan bersepadu. Kami berharap dapat menerapkan pengetahuan yang diperoleh daripada demonstrasi dan menggunakan hasil teknikalnya ke arah pelaksanaan projek ini di Malaysia,” kata Masahiro Aika, pegawai eksekutif kanan, pegawai pengkomersilan teknologi dan pengurus besar unit kelestarian penciptaan bersama JGC.
The post Gentari, Asahi Kasei dan JGC Holdings tandatangan MOU untuk hasilkan 8k tan hidrogen hijau setahun appeared first on Paul Tan’s Automotive News.