Suzuki GSX-8R diperkenal – fairing penuh, 776 cc

Seperti yang sudah dijangka, pengenalan Suzuki GSX-8S semasa pameran EICMA tahun lepas akhirnya membawa kepada pengenalan versi sport dengan fairing penuh pula. Pada EICMA 2023, Suzuki memperkenalkan GSX-8R, yang menggunakan binaan asas sama seperti versi naked GSX-8S, tetapi mempunyai panel badan penuh sebuah sportsbike.

Walaupun dengan fairing penuh itu, anda boleh menyaksikan Suzuki masih mengekalkan konsep rekaan sama pada bahagian lampu, dengan menggunakan jenis LED yang bertingkat, sementara di tepinya terdapat bukaan udara. Bahagian tangki, tempat duduk dan lampu belakang semua kelihatan sama.

Kuasa penggerak GSX-8R datang daripada enjin dua silinder selari 776 cc DOHC dengan sistem penyejukan cecair dan suntikan bahan api elektronik, yang dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan untuk menghasilkan 82 hp pada 8,500 rpm dan tork 78 Nm pada 6,800 rpm.



Pada bahagian kokpit, informasi penting dipaparkan oleh panel instrumen TFT-LCD lima inci berwarna penuh, sementara untuk mod tunggangan, ada tiga pilihan disediakan, dengan Mode A yang paling agresif, diikuti Mode B, dan Mode C yang lebih seperti mod hujan.

Menggunakan sistem pendikit ride-by-wire, motosikal ini turut datang dengan kawalan cengkaman tiga tahap, bantuan rpm rendah untuk memudahkan pergerakan awal serta quickshifter secara standard. Memegang rodanya ke atas jalan adalah suspensi daripada Kayaba, dengan fork USD di hadapan, sementara sistem brek pula terdiri daripada cakera berkembar 310 mm di hadapan, dan cakera 240 mm di belakang.

Dengan tambahan panel badan penuh, GSX-8R mencatat berat keseluruhan 205 kg (lebih 2 kg berbanding GSX-8S), manakala tinggi tempat duduk dan kapasiti tangki bahan api iaitu masing-masing 810 mm dan 14 liter masih adalah sama. Ia datang dalam pilihan warna Metallic Triton Blue, Pearl ignite Yellow, Metallic Mat Sword Silver dan Metallic Mat Black No 2.















The post Suzuki GSX-8R diperkenal – fairing penuh, 776 cc appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *