Zeekr 007 didedahkan – sedan EV bermula RM130k di China, versi satu dan dua motor, bumbung kaca penuh

Jenama EV premium di bawah kumpulan Geely, Zeekr sudahpun mendedahkan secara rasmi foto awalan satu lagi model baharunya, kali ini sebuah sedan EV yang digelar sebagai Zeekr 007. Beberapa gambar lain turut tertiris dan disiarkan di laman Weibo Lotus Road Car God sebelum pra-jualan model tersebut di buat di Guangzhou Auto Show akan datang.

Zeekr 007 ini dibina menggunakan platform PMA2+ yang diasaskan dari Sustainable Experience Architecture (SEA), membolehkan ia menyokong asas sistem elektrikal 800-volt untuk beroperasi. Ia dihasilkan dengan dimensi panjang 4,865 mm, lebar 1,900 mm, tinggi 1,450 mm , serta jarak roda sejauh 2,928 mm.

Untuk peringkat awalan Zeekr 007 akan ditawarkan dalam versi motor tunggal berkuasa 204 PS dan tork maksima 350 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.5 saat. Selepas ini ia turut akan tampil dengan versi lebih berkuasa menampilkan dua motor elektrik.

Sedan 007 ini tidak menampilkan lampu nyalaan siang dengan elemen rekaan ‘cakaran’ seperti Shooting Brake 001 dan MPV 009 sebelum ini. Sebaliknya ia diberikan satu bar lampu yang merentangi sepenuhnya bahagian muka yang digelar sebagai Zeekr Stargate, menampilkan fungsi interaktif dengan memaparkan tulisan atau imej. Manakala lampu nyalaan siang pula diletakkan di bawah bar lampu utama berkenaan.

Selain itu bahagian luaran 007 ini turut menampilkan beberapa perincian unik yang lain, antaranya bumbung yang menjadi perumah bagi penderia lidar, pembuka pintu yang digantikan dengan butang terletak di tiang-B dan tiang-C dan juga cermin belakang yang bersambung terus dengan bumbung kaca.

Dalam gambar yang didedahkan turut boleh dilihat sedan ini dipadankan dengan rim aloi 20-inci, dibalut dengan tayar Michelin Pilot Sport EV tyres bersaiz 255/40 R20.

Pada bahagian kabin, sebuah skrin infotainmen besaiz gergasi diletakkan seakan tergantung pada bahagian tengah papan pemuka. Pemandu pula menerima paparan instrumen digital dengan skrin leper bersama paparan head-up yang di pancar ke cermin hadapan, roda stereng dua jejari dan juga tuil tukaran gear yang terletak di kolum stereng.

Juga dapat dilihat pad pengecas untuk dua telefon pintar terletak di konsol tengah, bersambung dengan perehat tangan dan ruang storan bersaiz besar. Penumpang belakang turut menerima dua liang penghembus sistem pendingin hawa dan juga dua port USB.

Menurut laporan CarNewsChina, Zeekr 007 ini dijangka akan dijual pada harga bermula 200,000 yuan (RM129,875) sehingga 250,000 yuan (RM162,332).

GALERI: Gambar rasmi Zeekr 007





GALERI: Gambar Zeekr 007 yang tetiris










The post Zeekr 007 didedahkan – sedan EV bermula RM130k di China, versi satu dan dua motor, bumbung kaca penuh appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *