Angka jualan UMW Toyota Motor (UMWT) bagi Oktober 2023 cukup memberangsangkan. Dengan mencatat 10,931 unit termasuk 222 unit kenderaan Lexus, menjadikannya angka jualan bulanan tertinggi bagi tempoh lima tahun terakhir untuk syarikat tersebut.
Bulan lalu, Toyota memperkenalkan model Alphard dan Vellfire generasi keempat serba baru. Menurut Toyota, MPV mewah tersebut mencatatkan penanda aras baru bagi ciri canggih dan mewah yang ada di dalam sesebuah kenderaan. Dua varian ditawarkan, iaitu Alphard 2.4T Executive Lounge dengan harga RM538k dan Vellfire 2.5L dengan harga RM438,000.
“Dalam landskap automotif yang selalu berubah, Toyota Alphard dan Vellfire berada di depan dalam penawaran inovasi dan kecanggihan. Ia menetapkan standard baru untk kemewahan dan prestasi dalam segmen MPV, mencerminkan komitmen kami untuk memberikan kenderaan yang melangkau jangkaan,” ujar Presiden UMWT, Datuk Ravindran K.
UMWT dalam usaha untuk mengakhiri tahun ini dengan jualan yang kukuh, dan akan memperkenalkan promosi khusus tahun ini di bawah Celebrate the Symphony of Lights. Pelanggan boleh menikmati pembiayaan 100% untuk model terpilih, dengan manfaat promosi sehingga RM15,000. Juga, program Toyota Service Savers menawarkan ansuran bulanan mudah bermula serendah RM18.
The post UMW Toyota Motor capai jualan bulanan tertinggi dalam lima tahun pada Oktober 2023 — naik 9.1% appeared first on Paul Tan’s Automotive News.