BYD Sea Lion 07 2024 diperkenal di China – crossover EV saingan Tesla Model Y, harga dari RM131k

Semasa acara Auto Guangzhou di China, BYD telah memperkenalkan Sea Lion 07, yang menjadi pesaing kepada Tesla Model Y di dalam pasaran. Crossover elektrik penuh ini akan menjadi tambahan baru dalam barisan kenderaan elektrik (EV) Ocean mereka, yang termasuk Seagull, Dolphin dan Seal.

Rekaan Sea Lion 07 ini adalah satu kerja daripada bekas pereka Audi, iaitu Wolfgang Egger, yang kini merupakan ketua bahagian rekaan BYD (sejak 2016), dan mendapat inspirasi daripada kereta konsep Ocean-X, yang didedahkan dua tahun lepas.

Platform sama dengan kereta konsep itu digunakan pada Sea Lion 07, dan dimensinya menjadi 4,830 mm panjang, 1,925 mm lebar, 1,620 mm tinggi dan jarak roda 2,930 mm. Catatan ini tidak jauh beza dengan satu lagi EV daripada BYD yang akan dilancarkan 15 Disember nanti, iaitu Song L. Jika dibandingkan dengan Tesla Model Y, Sea Lion 07 ini adalah lebih besar.



Menurut CarNewsChina, BYD mempunyai perancangan untuk menjadikan Sea Lion sebagai pilihan pertama kepada satu barisan produk baru di bawah siri Ocean. Ini mungkin kedengaran sedikit memeningkan, tetapi susunannya adalah BYD > Ocean Series > Sea Lion. Selepas 07, syarikat itu juga akan memperkenalkan Sea Lion 05 dan 06.

Perincian untuk penggerak Sea Lion 07 ini masih belum didedahkan, tetapi BYD menyatakan bahawa ia akan menggunakan teknologi cell to body (CTB). Dengan ini, ia akan menyaksikan 07 mendapat bateri Blade yang disepadukan pada badan sama seperti Seal.

Satu lagi teknologi yang dikatakan bakal diterapkan pada Sea Lion 07 adalah sistem suspensi DiSus versi C yang mempunyai penyerap adaptif. Sea Lion 07 dijangka dijual pada harga antara 200,000 hingga 260,000 yuan (RM131,039 ke RM168,797), dan menjadikannya lebih murah berbanding Tesla Model Y yang dijual pada harga antara 266,400 dan 363,900 yuan (RM172,952 dan RM236,251).










The post BYD Sea Lion 07 2024 diperkenal di China – crossover EV saingan Tesla Model Y, harga dari RM131k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *