Proton S70 sedan dengan sebahagian besar perincian sudah pun didedahkan. Kereta sedan segmen C berkenaan juga dijangka akan dilancarkan secara rasmi untuk pasaran tempatan dalam masa terdekat, dalam tahun ini juga. Seperti yang kita sudah sedia maklum, S70 akan menggantikan Preve, dan seperti sebelum ini, Preve turut hadir dengan kembar hatchback-nya, Suprima S.
Maka, dengan hadirnya S70 kini, menarik juga untuk kita membayangkan, jika ada nanti, bagaimana rupanya kembar hatchback itu akan kelihatan. Theophilus Chin memberikan sedikit gambaran tentang itu: bagaimana agaknya reka bentuk S70 jika ia dihadirkan dalam rekaan hatchback melalui rekaan ini.
Daripada apa yang dapat dilihat di dalam imej digital ini, sedan S70 dipertemukan dengan bahagian belakang hatchback, yang ilhamnya diambil daripada model Skoda Fabia. Kemudian kemasan dilakukan untuk mendapatkan keseimbangan rekaan dengan mengecilkan sedikit ruang but dan memperkemas garis bumbungnya.
Rekaan lampu belakang pula menggunakan apa yang ada pada S70 sedan, yang dibesarkan sedikit untuk disesuaikan dengan gaya rekaan hatchback tersebut. Rekaan ini juga tidak disertakan dengan bahagian ala diffuser di apron belakang dan digantikan dengan panel hitam lebih ringkas yang bersekali dengan pemantul.
Mungkin tidak akan pernah ada S70 versi hatchback, kerana Geely Emgrand yang menjadi asasnya tidak ditawarkan dalam bentuk badan tersebut. Tetapi, menarik juga untuk mengimbau kembali gandingan penawaran Preve dan Suprima S dengan penampilan terbaru S70 ini.
The post Proton S70 dalam rekaan badan hatchback oleh Theophilus Chin — boleh jadi pengganti Suprima S? appeared first on Paul Tan’s Automotive News.