Boleh dikatakan hampir semua perincian berkenaan sedan segmen-C baharu Proton S70 telah didedahkan, dan satu-satunya perkara yang menjadi rahsia adalah harganya. Namun segala-galanya bakal terjawab lebih kurang seminggu dari sekarang kerana Proton telah mengesahkan bahawa S70 bakal dilancarkan secara rasmi pada 28 November ini!
Pelancaran berkenaan akan dibuat pada 4.30 petang Selasa minggu depan. Proton turut mewujudkan satu laman web mikro untuk pelancaran ini yang boleh anda daftarkan minat pada PAUTAN INI.
Proton S70 merupakan sedan yang diasaskan dari platform B-segment Modular Achitecture (BMA) yang sama seperti SUV Proton X50. Walaupun dari bahagian luaran ia nampak sama seperti Geely Emgrand untuk pasaran China, Filipina dan beberapa negara Timur Tengah, S70 sebenarnya dibangunkan semula oleh Proton dengan pelbagai perubahan drastik.
Antaranya enjin 1.5L NA dan kotak gear CVT yang digantikan dengan enjin 1.5L tiga-silinder turbo yang lebih berkuasa dan transmisi klac berkembar automatik tujuh-kelajuan yang lebih responsif, ruang kabin yang lebih sesuai untuk pasaran Malaysia, talaan suspensi “Proton Ride Handling”, kelengkapan keselamatan lebih canggih dengan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dan pelbagai lagi.
S70 bakal ditawarkan dalam empat varian berbeza bermula dengan varian asas Executive, Premium, Flagship dan Flagship X. Perbezaan penawaran spesifikasi antara varian boleh anda baca ada PAUTAN INI, dan kami turut sudah menguji sedan ini di litar ujian Proton dua minggu lalu di mana ulasannya boleh anda baca pada PAUTAN INI.
Walaupun harganya belum diketahui, Proton sudah membayangkan sedan segmen-C yang akan berhadapan dengan model seperti Honda Civic dan Toyota Corolla Altis ini akan dijual pada harga pada julat sedan segmen-B seperti Honda City dan Toyota Vios
GALERI: Proton S70 Flagship dan Flagship X 2023
The post Proton S70 sah akan dilancarkan pada 28 Nov ini! appeared first on Paul Tan’s Automotive News.