Tiada apa yang rahsia lagi tentang smart #1, model EV pertama jenama itu untuk pasaran tempatan yang diedarkan oleh Pro-NET Sdn. Bhd., sebuah anak syarikat Proton. Selepas banyak kali dipertontonkan dan didedahkan perinciannya, hari ini smart #1 dilancarkan secara rasmi untuk pasaran di sini.
Satu-satunya pengesahan yand ditunggu-tunggu tentulah harganya. smart #1 dijual dengan harga bermula RM189,000 bagi varian Pro, dengan varian Premium pula pada harga RM219,000. Manakala bagi versi yang lebih berprestasi, smart #1 Brabus pula datang dengan harga RM249,000.
smart kini hanya mengeluarkan kenderaan EV sahaja, dan #1 ini menggunakan platform Sustainable Electric Architecture (SEA) yang dibangunkan oleh Geely — sebuah platform EV modular yang turut dimanfaatkan oleh model lain seperti Lotus Eletre, Zeekr 001 dan Polestar — ia juga menjadi teras kepada banyak EV premium yang lain.
Dari segi rekaan, smart #1 ialah sebuah SUV, dengan pendekatan yang dirasakan mampu memenuhi kehendak pelanggan smart di pasaran umum. SUV yang dimaksudkan ini tentulah dalam erti kata yang banyak digunakan oleh model-model EV pengeluar lain: lebih cenderung sebagai sebuah hatchback dengan saiz besar daripada kebiasaan.
Ukuran dimensinya adalah seperti berikut: 1,822 mm lebar dengan jarak antara roda 2,750 mm. Sebagai perbandingan, jika dibandingkan dengan Honda HR-V, smart #1 lebih lebar sebanyak 32 mm dan jarak rodanya lebih panjang 140 mm, walaupun ia sebenarnya lebih pendek daripada HR-V. #1 juga lebih tinggi 46 mm dengan ketinggian 1,636 mm. smart #1 juga menggunakan saiz rim yang lebih besar, 19-inci.
Tentang sistem janaannya terlebih dahulu. Bagi smart #1 Premium, ia dilengkapi sebuah motor elektrik di belakang dengan janaan 272 PS (200 kW) dan 343 Nm tork yang memacu roda belakang. Pecutan 0-100 km/j boleh dicapai dalam masa 6.7 saat.
smart #1 menggunakan bateri lithium nickel manganese cobalt oxide (NMC) 66-kWh yang menyediakan jarak perjalanan sejauh 440 km mengikut kitaran WLTP. Kadar pengecasan maksimumnya ialah 150 kW DC: dengan pengecas yang serasi, kadar bateri dari 10-80% boleh dicapai dalam masa 30 minit.
Walaupun DC adalah pilihan yang paling ideal untuk mana-mana EV, sumber utama untuk pengecasan sebenarnya adalah melalui AC, dan smart #1 turut ada kelebihan dengan mempunyai pengecas dalaman berkapasiti 22 kW AC berbanding kebanyakan model biasa yang hanya menyediakan kemampuan pengecasan 11 kW.
Untuk pengecasan AC tersebut, keadaan bateri dari 10-80% boleh dicapai dalam masa tiga jam — jangka masa yang cepat juga untuk pengecasan AC. Di Malaysia ketika ini, hanya mdoel seperti Audi Q8 e-tron/e-tron GT dari varian 55 quattro dan Porsche Taycan yang menyediakan pengecasan 22 kW. EV premium lain bahkan tetap menyediakan kadar 11 kW, sementara EV biasa datang dengan kemampuan 7 kW sahaja.
Dari segi rekaan luaran, smart #1 tampil dengan wajah depan tertutup seperti kebiasaan EV, diserikan dengan jalur dan lampu LED untuk menjadikan imejnya futuristik. Lampu yang ada di wajah depan ini juga boleh dinyala mengikut rentak muzik yang dimainkan.
Sentuhan rekaan lain pada smart #1 tak kalah menarik — tingkap tanpa bingkai, pemegang pintu yang tersembunyi serta kesan bumbung terapung yang lebih jelas kelihatan — dengan bahagian kaca yang luas di situ. Tidak ketinggalan, rekaan kuncinya, dengan fungsi kunci/buka automatik.
Antara kelengkapan yang ada model ini ialah lampu utama adaptif LED Matrix; lampu isyarat sequential; lampu di bahagian gril, pintu, logo; lampu di cermin sisi, rim aloi 19-inci Rotor dengan tayar 235/45; bumbung panoramik; landasan bumbung; dan pintu belakang bebas operasi tangan.
Kokpitnya hadir dalam rekaan T yang besar dan bersambung dengan konsol di tengah, dengan skrin 12.8-inci. Untuk pemandu, kluster instrumen 9.2-inci tersedia, serta head-up display (HUD) 10-inci. Ada juga sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, pengecas tanpa wayar Qi dan sistem bunyi Beats dengan 13-pembesar suara 640W. Kerusi dengan balutan kulit, dengan larasan elektrik untuk kerusi depan dengan memori, pendingin hawa dua-zon, penapis udara N95, dan tidak ketinggalan 64-warna lampu suasana ala Mercedes-Benz.
Untuk ruang, dengan tempat duduk belakang boleh dilipat dalam nisbah 60:40, ia mampu menyediakan ruang barangan antara 323 liter hingga 411 liter, atau 986 liter jika kerusi tersebut dilipat penuh. Ruang dalam hud depan pula ada 115 liter.
Bagi versi smart #1 Brabus pula, ia ditambah dengan satu lagi motor elektrik bagi memacu roda hadapan. Ini membolehkan ia dibekalkan kuasa dengan 428 PS (315 kW) dan tork maksima 543 Nm, serta mempunyai cengkaman dan pengendalian lebih baik dengan kebolehan pacuan semua roda. Hasilnya, smart #1 Brabus ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.9 saat, berbanding model Pro dan Premium yang mencapai pecutan sama dalam masa 6.7 saat.
Kedua-dua motor berkenaan menerima kuasa dari bateri lithium nickel manganese cobalt oxide (NMC) berkapasiti 66 kWh yang memberikan jarak gerak sejauh 400 km untuk satu cas penuh dalam kitaran WLTP. Dengan pengecas AC 22 kW kadar cas 10% hingga 80% dapat dipenuhkan dalam masa tiga jam, manakala dengan pengecas pantas DC 150 kW pula kadar cas yang sama dapat dicapai dalam masa 29 minit.
Dengan tambahan satu lagi motor elektrik pada gandar hadapan menjadi varian Brabus ini model yang paling berat, ditimbang pada 1,900 kg berbanding 1,780 kg untuk varian Pro dan 1,800 kg untuk Premium.
Ruang dalaman versi Brabus juga ada sedikit perbezaan berbanding Pro dan Premium. Misalnya, ia dilengkapi dengan skrin utama 12.8-inci dengan sistem tunjuk arah bina-dalam, serta sambungan Apple CarPlay dan Android Auto dan digandingkan dengan sistem bunyi premium dari Beats menampilkan 13-pembesar suara.
Sistem bunyi ini bukan hanya memberikan bunyi muzik, sebaliknya turut boleh mengeluarkan bunyi enjin buatan, yang didakwa diinspirasikan dari bunyi enjin V6. Dengan lantai rata menerusi platform SEA ini, satu ruang storan yang agak besar dapat diberikan di bahagian bawah konsol tengah.
Paparan instrumen digital HD penuh yang direka nipis bersaiz 9.2-inci tersedia, disertai paparan head-up berwarna penuh 10-inci yang dipancar ke cermin hadapan, roda stereng dengan kemasan balutan gandingan kulit dan Alcantara serta logo Brabus bernyala di bawah, tempat duduk larasan kuasa 10-hala dengan fungsi memori dan juga set pedal aloi.
Bagi aspek keselamatan, smart #1 diberikan kelengkapan seperti tujuh beg udara, sistem pemantau tekanan angin tayar, cagak tempat duduk Isofix pada tempat duduk belakang, bantuan mula mendaki dan bantuan turun bukit, kawalan brek selekoh (CBC) dan pelbagai lagi.
Ia turut dibantu sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan hampir 30-fungsi disenaraikan dalam spesifikasi dan mempunyai kebolehan pemanduan autonomous Tahap 2. Antara fungsi tersebut termasuk kawalan melayar adaptif dengan bantuan tukar lorong, bantuan kesesakan trafik (TJA), parkir autonomous sepenuhnya dan pelbagai lagi.
smart #1 Premium di Malaysia
smart #1 Brabus di Malaysia
The post smart #1 2023 dilancar di Malaysia — 272 PS/343 Nm; versi Brabus 428 PS/543 Nm, harga dari RM189k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.