Pro-Net, anak syarikat penuh milik Proton yang mengendalikan jenama smart di Malaysia mengumumkan bahawa model pertamanya yang dijual dipasaran tempatan iaitu smart #1 telah ditempah sebanyak lebih 500 unit selepas tempahannya diumumkan dibuka pada 19 September lalu sehingga pelancaran rasminya dibuat hari ini.
SUV EV kompak berkenaan ditawarkan dalam tiga varian berbeza, bermula dengan varian asas #1 Pro dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM189,000, diikuti #1 Premium dijual pada harga RM219,000, manakala varian paling mahal dan paling berkuasa #1 Brabus pula berharga RM249,000.
Dari tiga varian tersebut, Pro-Net menyatakan #1 Brabus merupakan model yang paling laris, di mana 60% pelanggan yang menempah #1 memilih model prestasi tinggi dengan dua motor pacuan semua roda berkuasa 428 PS/543 Nm tersebut.
Penghantaran kepada pelanggan terawal akan bermula esok dengan stok awalan berjumlah 300 unit telah tiba di Malaysia. Manakala bagi pelanggan yang baru membuat tempahan, tempoh menunggu untuk menerima kereta masing-masing dijangka mengambil masa sekitar satu bulan.
Pro-Net turut mensasarkan untuk menjual antara 800 hingga 1,000 unit EV pada tahun 2024, atau sekitar 10% dari bahagian pasaran EV di Malaysia. Rekod menunjukkan sejumlah 274 EV terjual dalam pasaran tempatan pada 2021, dan meningkat kepada 2,631 unit pada 2022. Angka jualan untuk tahun ini dijangka meningkat seperti yang diumumkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) Disember tahun lalu.
GALERI: smart #1 Premium di Malaysia
GALERI: smart #1 Brabus di Malaysia
The post smart Malaysia terima lebih 500 tempahan #1 ketika dilancar, 60% pilih Brabus berkuasa 428 PS/543 Nm appeared first on Paul Tan’s Automotive News.