Volvo S60 Recharged T8 Ultimate 2024 di Malaysia – RM316k, rim & warna baru, pengecas OB AC 6.4 kW

Volvo Cars Malaysia sudahpun mengumumkan versi kemaskini untuk Volvo S60 2024 pada September lalu yang menampilkan warna badan baharu dan juga beberapa tingkat taraf perincian. Ini dia kami tampilkan untuk anda galeri unit sebenar model kemaskini tersebut.

Volvo S60 2024 ini masih merupakan model yang dipasang secara tempatan (CKD), dan ia ditawarkan hanya dalam satu varian iaitu S60 Recharge Ultimate. Ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM315,888. Antara kelengkapan baharu yang boleh dilihat pada sebelah luar adalah menerusi pemadanan set rim aloi 19-inci enam-jejari dengan serlahan hitam, dibalut dengan tayar 235/40R19.

Manakala untuk pilihan warna pula, pilihan Crystal White, Onyx Black dan Platinum Grey masih dikekalkan tetapi ia kini ditambah dengan satu lagi warna iaitu Vapour Grey. VCM turut memberikan pengecas AC onboard yang lebih berkuasa dengan berkadar 6.4 kW, berbanding 3.7 kW sebelum ini.

Dengan pengecas baharu ini, bateri untuk sistem hibrid S60 Recharge T8 2024 dengan kapasiti 18.8 kWj (ditingkat taraf pada April lalu) dapat dipenuhkan dalam masa tiga jam, bagi memberikan jarak perjalanan menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya sejauh 90 km.

Volvo S60 2024 ini juga datang sekali dengan akses servis digital secara percuma selama lima-tahun, yang merangkumi servis Google Assistant, Google Maps, Google Play Store dan juga aplikasi Volvo Cars yang memberikan fungsi kawalan jauh.

Bagi sistem infotainmen Google bina dalam, ia kini telah pun memberikan akses kepada aplikasi YouTube yang boleh digunakan ketika kereta tidak bergerak. Akses kepada aplikasi YouTube ini turut boleh dinikmati oleh pemilik S60 sedia ada yang boleh ditingka taraf menerusi kemaskini over-the-air (OTA).



Perincian lain masih lagi tidak berubah dimana S60 pasaran Malaysia ini masih dijana oleh unit rangkaian kuasa plug-in hybrid (PHEV) T8, menampilkan enjin Drive-E 2.0 liter empat silinder yang disuap pengecas turbo dan supercharger, menghasilkan kuasa 317 PS dan tork maksima 400 Nm.

Enjin berkenaan turut dibantu oleh motor elektrik yang diletakkan pada gandar belakang berkuasa 145 PS dan tork maksima 309 Nm. Ini membolehkan ia menghasilkan pacuan semua roda (AWD) dengan kuasa keseluruhan 462 PS dan tork maksima 709 Nm.

Dengan kelengkapan tersebut, Volvo S60 T8 ini boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.5 saat, tetapi kelajuan maksimanya telah dihadkan pada 180 km/j untuk tujuan keselamatan. Manakala penggunaan bahan apinya pula dicatatkan pada kadar serendah 1.4 l/100 km.


Klik untuk besarkan

Perincian lain yang turut terus dipadankan pada model 2024 ini termasuk, paparan head-up, tempat duduk hadapan larasan berkuasa, sistem pendingin hawa dua-zon, bumbung panaromik, skrin infotainmen sembilan-inci, sistem audio Harman Kardon dengan 14-pembesar suara dan lain-lain.

Manakala untuk sistem bantuan pemanduan pula ia memberikan fungsi seperti City Safety (brek kecemasan automatik), bantuan kekal lorong, pemantau titik buta dengan bantuan stereng, amaran lintasan trafik dengan brek automatik, pelindungan keluar jalan, cruise control adaptif dan juga Pilot Assist.

Untuk bahagian dalaman, ia ditawarkan dengan tema warna Charcoal yang digandingkan dengan upholsteri gandingan fabrik Charcoal Open Grid/kulit dan jua perapi kemasan Metal Mesh. Setiap pembelian S60 2024 ini diberikan pelindungan waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan, manakala bateri untuk PHEV pula diberikan waranti selama lapan-tahun atau 160,000 km.




















GALERI: Brosur Rasmi Volvo S60 Recharged T8 Ultimate 2024





The post Volvo S60 Recharged T8 Ultimate 2024 di Malaysia – RM316k, rim & warna baru, pengecas OB AC 6.4 kW appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *