Zeekr 007 2024 – sedan EV bermula RM146k di China, lebih 20k tempahan diterima dalam masa 48-jam

Zeekr mengumumkan bahawa ia telah menerima lebih dari 20,000 tempahan di China hanya dalam masa 48-jam untuk model baharunya iaitu sedan EV Zeekr 007 selepas pra-jualan tersebut dibuka pada 17 November lalu ketika berlangsungnya Auto Guangzhou 2023.

Zeekr 007 ini bakal dilancarkan secara rasmi pada awal Januari 2024, dan ia akan dijual pada harga bermula 224,900 yuan (RM146,302), ditawarkan dalam versi motor tunggal pacuan roda belakang dan motor berkembar pacuan semua roda. Model ini dihasilkan dari platform PMA2+ yang diasaskan dari Sustainable Experience Architecture (SEA) yang dibangunkan oleh Geely, membolehkan ia beroperasi dengan asas sistem elektrikal 800-volt.

Bagi model pacuan roda belakang, ia diberikan sebuah motor berkuasa 421 PS (416 hp atau 310 kW) yang diletak pada gandar belakang, manakala versi AWD pula ia ditambah dengan sebuah lagi motor berkuasa 224 PS (221 hp atau 165 kW) diletakkan pada gandar hadapan.

Ini membolehkan Zeekr 007 pacuan roda belakang memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.4 saat, manakala versi AWD pula jauh lebih pantas dengan hanya 2.84 saat untuk membuat pecutan sama. Pembeli ditawarkan dengan dua jenis kapasiti bateri, dengan versi standard mampu untuk bergerak sejauh 688 km (dalam kitaran CLTC) dan varian dengan kapasiti lebih besar boleh bergerak sejauh 870 km untuk satu cas penuh.

Dengan asas sistem elektrikal 800-volt, jarak perjalanan sejauh 610 km dapat dicapai dalam masa hanya 15 minit menggunakan pengecas pantas DC. Zeekr turut menyatakan bahawa kadar penggunaan model 007 ini adalah serendah 12.5 kWj untuk perjalanan 100 km.

Ia dihasilkan dengan dimensi panjang 4,865 mm, lebar 1,900 mm, tinggi 1,450 mm , serta jarak roda sejauh 2,928 mm. Di China, Zeekr 007 ini bakal berhadapan terus dengan model seperti BYD Han, Aion Hyper GT dan juga Neta S.

Sedan 007 ini tidak menampilkan lampu nyalaan siang dengan elemen rekaan ‘cakaran’ seperti Shooting Brake 001 dan MPV 009 sebelum ini. Sebaliknya ia diberikan satu bar lampu yang merentangi sepenuhnya bahagian muka yang digelar sebagai Zeekr Stargate, menampilkan fungsi interaktif dengan memaparkan tulisan atau imej. Manakala lampu nyalaan siang pula diletakkan di bawah bar lampu utama berkenaan.

Selain itu bahagian luaran 007 ini turut menampilkan beberapa perincian unik yang lain, antaranya bumbung panaromik sepenuhnya bersambung dengan cermin belakang yang juga menjadi perumah bagi penderia lidar, pembuka pintu yang digantikan dengan butang terletak di tiang-B dan tiang-C, serta rim aloi berdiameter 20-inci.

Pada bahagian kabin, ia diberikan upholsteri kulit dan sebuah skrin sesentuh OLED bersaiz 15-inci untuk sistem infotainmen diletakkan seakan tergantung pada bahagian tengah papan pemuka. Skrin berkenaan dikuasakan dengan cip Qualcomm Snapdragon 8295. Pemandu pula menerima paparan instrumen digital dengan skrin leper bersama paparan AR-HUD (augmented reality-head-up display) 35.5-inci.

Manakala untuk sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS), ia disokong oleh satu penderia Lidar, 12 kamera berdefinisi tinggi, lima radar gelombang-milimeter dan 12 penderia ultrasonic. Kesemua penderia dan kamera ini disambungkan kepada SoC (sistem dalam cip) Nvidia Orin X.















The post Zeekr 007 2024 – sedan EV bermula RM146k di China, lebih 20k tempahan diterima dalam masa 48-jam appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *