Ital Auto Malaysia Sdn Bhd selaku pengimport dan pengedar rasmi model Ferrari di Malaysia telah melancarkan bilik pamerannya, Ferrari Ital Auto Malaysia, yang pertama di negara ini. Terletak di lokasi strategik di tengah ibu kota iaitu di Four Seasons Place Kuala Lumpur (bersebelahan KLCC), bilik pameran ini direka bagi memenuhi keperluan Ferraristis baharu, senada dengan kewujudan Ferrari Showroom Experience.
Berkeluasan 3,826 kaki persegi, Ferrari Ital Auto Malaysia ini mampu mempamerkan dua unit model terkini Ferrari untuk tatapan umum. Selain itu, ia turut menempatkan ruang lounge untuk pelanggan yang ditampilkan dengan spesifikasi Identiti Korporat Ferrari (CI) terkini termasuk menyediakan kemudahan Heritage Library dengan pelbagai bahan bacaan, selain memaparkan Brand Experience Video Wall untuk para pengunjung menambah pengetahuan mengenai jenama ini.
Selain itu, Ferrari Ital Auto Malaysia turut menampilkan Ferrari Atelier yang memberikan peluang kepada para pemilik Ferrari mengimaginasi dan memilih proses kustom termasuk pemilihan warna, kelengkapan dan material untuk menjadikan jentera Ferrari mereka bertepatan dengan citarasa masing-masing.
“Malaysia umpama rumah komuniti untuk pemilik Ferrari serta para peminat setia jenama ini. Bilik pameran Ferrari Ital Auto Malaysia di Four Seasons Place Kuala Lumpur adalah penting bagi kami untuk memastikan bahawa Prancing Horse yang ikonik menjadikannya tepat di tengah-tengah pusat bandar raya, sambil memastikan kemudahan dan perkhidmatan kami memenuhi standard tinggi kecemerlangan automotif yang sinonim dengan jenama, “kata Zahir Kelvin Ong Abdullah selaku Pengarah Eksekutif Ital Auto Malaysia Sdn Bhd.
Serentak dengan pelancaran Ferrari Ital Auto Malaysia, dua model terkini Ferrari iaitu Purosangue dan Roma Spider turut diperkenalkan buat pertama kalinya di Malaysia. “Purosangue dan Roma Spider adalah dua model yang telah mempelbagaikan gabungan produk Ferrari secara positif sejak masing-masing diperkenalkan. Sewajarnya kedua-dua model ini diraikan bersama dengan pelancaran bilik pameran Ferrari Ital Auto Malaysia yang baharu.
“Saya gembira kerana Ital Auto Malaysia Sdn Bhd telah memperoleh lokasi yang begitu strategik di tengah-tengah bandar untuk manfaat komuniti Ferrari tempatan kami, ” kata Dieter Knechtel selaku Presiden Ferrari bagi hab Asia Timur dan Timur Tengah.
Ferrari Ital Auto Malaysia ini dibuka setiap hari dari jam 10 pagi hingga 7 malam pada Isnin hingga Jumaat, dan 10 pagi hingga 4 petang untuk Sabtu dan Ahad.
Pembelian kereta Ferrari menerusi Ferrari Ital Auto Malaysia akan didatangkan dengan waranti lanjutan selama tujuh-tahun dengan Genuine Maintenance untuk untuk mengekalkan prestasi dan kecemerlangan semua jentera yang dikeluarkan di Maranello, Itali.
Manakala pemilik Ferrari yang ingin menyelenggara atau membaikpulih jentera masing-masing, Ital Auto Malaysia turut mengendalikan pusat servisnya yang terletak di Glenmarie, Shah Alam.
The post Ferrari Ital Auto Malaysia di Four Seasons Place KL dilancarkan – pertama kendalian Ital Auto Malaysia appeared first on Paul Tan’s Automotive News.