Terowong TRX dibuka 29 November ini – bersambung terus dengan Jalan Tun Razak, Lebuh Raya SMART

Mereka yang mempunyai urusan di sekitar Tun Razak Exchange (TRX) tidak lama lagi akan dapat menikmati perjalanan yang lebih mudah apabila terowong bawah tanah baru sepanjang lima kilometer akan dibuka 29 November ini.

Terowong ini mempunyai akses terus kepada Jalan Tun Razak dan Lebuh Raya SMART, dan bersambung kepada beberapa bahagian di dalam kawasan TRX yang berkeluasan 70 ekar. Ada antara laluannya masuk terus ke bahagian letak kereta bangunan.

Menteri kerja raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang mengadakan lawatan kerja untuk meninjau infrastruktur jalan raya di sekitar TRX termasuk terowong tersebut menyatakan rasa puas hati dengan kemajuan semasa jalan yang ada dan berharap ia dapat memudahkan pengguna.



“Bagi sebuah projek nasional sebesar ini di lokasi bandar utama, TRX telah menjalankan banyak perancangan strategik untuk memudahkan akses bagi pengguna pengangkutan awam dan juga persendirian. Ini sejajar degan komitmen kerajaan untuk menjadikan TRX sebagai destinasi perniagaan dan sosial antarabangsa,” kata Alexander.

Terowong TRX yang dibina oleh Gadang Engineering (M) Bhd dan WCT Berhad ini mempunyai dua aras iaitu aras pertama untuk kenderaan dan aras kedua untuk perkhidmatan utiliti. Ia juga dipasang dengan Waze Beacon supaya alat navigasi pengguna tidak terganggu.

Selain daripada itu, sistem rangkaian jalan raya TRX juga turut disokong oleh stesen MRT Tun Razak Exchange, yang menjadikan TRX sebagai sebuah pembangunan dengan hubungan terbaik dalam Kuala Lumpur. Stesen ini merupakan satu-satunya stesen dalam bandar yang menghubungkan Laluan Kajang dengan Laluan Putrajaya.










The post Terowong TRX dibuka 29 November ini – bersambung terus dengan Jalan Tun Razak, Lebuh Raya SMART appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *