Pusat Inovasi Hyundai Singapura kini pasang Ioniq 5, EV robotaxi untuk pasaran AS; Ioniq 6 tahun depan

Pusat Inovasi Hyundai Singapura (HMGICS) yang kini memasang Hyundai Ioniq 5 diumumkan turut akan memasang EV berkenaan dalam versi robotaxi yang bakal di bawa ke Las Vegas, Amerika Syarikat untuk kegunaan komersil oleh syarikat robotaxi Motional.

Khidmat Ioniq 5 yang boleh bergerak tanpa pemandu berkenaan akan bermula pada tahun hadapan, selepas menjadi antara model terawal menerima penarafan kenderaan pemanduan autonomi SAE Tahap 4 dan menerima kelulusan operasi di bawah Standard Keselamatan Kenderaan Motor Persekutuan Amerika Syarikat (FMVSS).

Robotaxi Ioniq 5 ini dibangunkan bersama antara Hyundai dan Motional menerusi kerjasama Hyundai Motor Group dan firma teknologi Aptiv sejak 2020.

HMGICS terletak di Wilayah Inovasi Jurong, dan dibina dengan kos SGD$400 juta (RM1.4 bilion). Menurut naib presiden HMGICS dan ketua kumpulan inovasi teknologi Alpesh Patel kepada akhbar Straits Times, fasiliti ini mula beroperasi sejak awal tahun ini dan bakal menghasilkan 30 robotaxi menjelang akhir 2023, serta 150 unit pada 2024.

Setiap robotaxi ini dilengkapi dengan lebih 30 penderia termasuk Lidar, radar dan kamera. Dengan penarafan Tahap 4 yang diberikan, ini bermakna robotaxi ini boleh bergerak sendiri tanpa ada tangan pemandu pada roda stereng dan juga tidak perlu dipantau dengan mata untuk tempoh masa yang lama, dalam pelbagai lokasi dan situasi. Walau bagaimanapun untuk perkhidmatan di Las Vegas ini, masih ada pemandu perlu diletakkan pada tempat duduk pemandu setiap robotaxi tersebut.

Selain dari robotaxi ini, fasiliti pemasangan tersebut turut perlu memproduksi sekitar 300 unit Hyundai Ioniq 5 biasa untuk pelanggan. Fasiliti seluas 86,900 kaki persegi ini menampilkan bangunan tujuh tingkat dan disasarkan untuk menghasilkan 30,000 kenderaan setahun bagi pasaran domestik dan eksport. Produksi Hyundai Ioniq 6 turut akan bermula di HMGICS ini tahun hadapan.



Fasiliti ini tidak menggunakan konveyor tali-sawat biasa seperti kilang-kilang kenderaan yang lain, sebaliknya menggunakan sistem yang digelar sebagai sistem produksi berasaskan sel oleh Hyundai yang didakwa bagi “mencapai mencapai piawaian fleksibiliti dan automasi yang tiada tandingan.”

Sekitar 50% tugas dalam fasiliti ini dibuat oleh 200 robot, manakala tugas manusia, robot dan juga sistem-sistem kecerdasan buatan (AI) diintegrasikan menerusi platform digital-berkembar meta. Menurut Hyundai, ini membolehkan pekerja melakukan tugas mereka dalam ruang maya digital atau metaverse sementara robot mengerakkan komponen secara fizikal pada barisan produksi sebenar.

Pada tingkat paling atas bangunan HMGICS ini pula dilengkapi dengan litar ujian berbentuk oval sepanjang 618 meter yang digelar sebagai Skytrack seperti litar ujian Fiat di Turin, Itali satu ketika dahulu.



Selain dari kelengkapan-kelengkapan pemasangan dan pembangunan kenderaan, fasiliti HMGICS ini turut mempunyai Ladang Pintar yang disasarkan untuk menghasilkan solusi masa hadapan bagi mempertingkatkan kebolehan produksi makanan Singapura sebagai salah satu visi HMG yang luas untuk pertumbuhan urban yang mampan.

Sehingga sembilan tanaman berbeza dihasilkan di ladang pintar HMGICS, dan hasil yang dituai di sini diberikan kepada pelanggan sebagai buah tangan kunjungan mereka ke fasiliti itu, serta ia turut disumbangkan kepada masyarakat setempat.

Hasil-hasil tanaman ini juga akan dijadikan menu untuk restoran “dari ladang ke meja” yang akan dibuka di fasiliti berkenaan pada suku kedua tahun depan.




















The post Pusat Inovasi Hyundai Singapura kini pasang Ioniq 5, EV robotaxi untuk pasaran AS; Ioniq 6 tahun depan appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *