Kajian pembinaan LRT di JB dilaksanakan, kertas cadangan bakal diserahkan kepada k’jaan persekutuan

Kerajaan Johor menerusi beberapa agensi termasuk Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) sedang melaksanakan kajian pelaksanaan pembinaan transit aliran ringan (LRT) di bandar raya Johor Bahru (JB) dan kertas cadangan mengenai projek ini bakal diserahkan kepada kerajaan persekutuan dalam tempoh waktu terdekat ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, kerajaan Johor risau dengan kesesakan di bandaraya JB yang semakin kritikal apatah lagi apabila Projek Sistem Transit Rapid (RTS) antara JB-Singapura dijadualkan mula beroperasi pada 2027, dijangka akan menyebabkan trafik di pusat bandaraya semakin sesak, laporan Berita Harian.

“LRT adalah kaedah pengangkutan sesuai sebagai langkah penyuraian trafik selain mengkoordinasi sistem pengangkutan di pusat bandaraya JB apabila RTS dan Projek Landasan Berkembar Sistem Tren Elektrik Gemas-Johor Bahru beroperasi masing-masing pada 2027 dan 2025.

“Mengikut kajian awal yang dibuat, Johor Bahru memerlukan tiga jajaran LRT membabitkan laluan Skudai, Tebrau dan Iskandar Puteri membabitkan laluan sejauh kira-kira 30 kilometer. Sebenarnya kajian sudah pun siap dan saya akan meneliti cadangan terbaik dan paling sesuai yang dihasilkan agensi negeri sebelum kita serahkan kepada Kerajaan Persekutuan sebagai penilaian,” katanya yang akan mempengerusikan Mesyuarat Khas LRT Johor itu pada Khamis ini.

Mohamad Fazli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Pasir turut berkata, cadangan pelaksanaan LRT di Johor Bahru sudah beberapa kali diutarakan Kerajaan Johor malah pernah mendapat makluman daripada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Minggu lalu, dalam pembentangan Belanjawan Johor 2024, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilaporkan mahu Kerajaan Pusat menyegerakan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dan transit aliran ringan (LRT) di bandaraya JB berikutan kesesakan kritikal di pusat bandaraya berkenaan.

“LRT JB adalah antara sistem paling berkesan bagi mengatasi kesesakan kritikal di bandar raya ini dengan kerajaan negeri menerima banyak pandangan dan cadangan pakar pengangkutan supaya mewujudkan sistem perkhidmatan itu, apatah lagi ia memang sesuai dibangunkan di kawasan bandar.

“Jadi kita mengharapkan kertas cadangan yang akan diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan berkenaan LRT Johor Bahru itu akan menjadi katalis kepada pembinaan pengangkutan berkenaan di pusat bandaraya,” kata Onn.

The post Kajian pembinaan LRT di JB dilaksanakan, kertas cadangan bakal diserahkan kepada k’jaan persekutuan appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *