Kerajaan bersedia untuk memperkenalkan mekanisme subsidi bersasar bagi petrol RON 95 pada separuh kedua 2024. Menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, jangka masa itu akan membolehkan pihak berkuasa memastikan subsidi disampaikan dengan cara yang disasarkan kepada “mereka yang paling memerlukannya,” laporan FMT.
“Mengetepikan isu mengenai pertindihan membolehkan kerajaan mengambil langkah yang tegas daripada pentadbiran terdahulu,” katanya dalam ucaptama pada Persidangan Prospek Ekonomi Negara (NEOC) di Tun Razak Exchange (TRX) hari ini.
Tambahnya, memperkenalkan subsidi juga akan membolehkan Putrajaya mengoptimumkan sumbernya. Selain itu, kerajaan perlu mencari cara baharu untuk menguruskan sumbernya dengan lebih baik di samping mengurangkan ketirisan dan pembaziran, dan subsidi petrol RON 95 yang disasarkan adalah selaras dengan usaha ini.
Katanya lagi, sebuah negara apabila T20 menerima 53% daripada subsidi bahan api yang menyeluruh bukan satu model yang mampan dan juga bukan sebuah model yang saksama. “Satu perkara yang tidak dapat dielakkan ialah menangani ketidakcukupan hasil kita dengan meningkatkan kutipan cukai. Membelanjakan lebih banyak wang daripada yang kita miliki tidak pernah kondusif kepada keadaan yang dinamik dan mampan,” tambahnya.
Rafizi turut berkata, kerajaan mengambil masa untuk melaksanakan program subsidi bersasar bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar. “Adalah dijangkakan akan ada ketidakpuasan dan masalah sebaik ia dilaksanakan, tetapi kerajaan tidak akan membuat pusingan ‘U’ apabila ia dilaksanakan,” katanya.
Jelasnya, mulai tahun depan akan memperlihatkan usaha kerajaan kepada pelaksanaan dasar dan dengan penubuhan Pangkalan Data Utama (PADU) pada Januari 2024 memberikan akses kepada data granular yang diperlukan untuk melaksanakan program bersasar seperti rasionalisasi subsidi atau reformasi kebajikan sosial.
Sudah tentu petrol bukan satu-satunya bahan api yang akan mempunyai mekanisme subsidi yang disasarkan. Malah ia juga akan melibatkan diesel secara berperingkat, seperti mana yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2024. Menurut PM, harga diesel bersubsidi akan terus dinikmati oleh pengguna terpilih seperti syarikat pengangkutan barang dan logistik, manakala pengguna lain akan dikenakan harga yang lebih tinggi.
The post M’sia bakal perkenalkan mekanisme subsidi bersasar untuk petrol RON95 pada separuh kedua 2024 – Rafizi appeared first on Paul Tan’s Automotive News.