Proton S70 – spesifikasi lengkap setiap varian tertiris sebelum pelancaran rasmi esok, 28 Nov 2023

Sebelum ini ada slaid pembentangan yang menunjukkan perbezaan spesifikasi setiap varian Proton S70 yang bakal dilancarkan petang esok, 28 November 2023. Menerusi perkongsian spesifikasi lengkap yang nampak seperti dari brosur rasmi oleh pengguna laman sosial bernama Zheng Feng Yap di paultan.org Facebook Group, perincian sepenuhnya sedan segmen-C baharu Proton ini telah pun terdedah sepenuhnya.

Untuk anda yang mahukan Proton S70 dengan harga paling murah, varian paling rendah 1.5T Executive datang dengan rim aloi 16-inci dengan tayar 205/55R16 serta perincian asas seperti lampu hadapan halogen tanpa sistem menyala sendiri, cermin sisi tanpa auto-lipat, serta tiada sistem kunci auto dan bar lampu pada penutup but belakang.

Pada bahagian dalaman pula, model paling asas ini juga cuma diberikan panel meter analog, roda stereng urathene tanpa sebarang balutan, tempat duduk pemandu larasan manual, tiada perehat tangan tengah, pendingin hawa manual, upholsteri fabrik serta tiada pilihan mod Normal, Sport dan Comfort untuk stereng.

Untuk sistem infotaimen pula, varian 1.5T ini masih menerima skrin sesentuh bersaiz lapan inci dengan hubungan telefon pintar dan Bluetooth serta empat pembesar suara, tetapi tidak diberikan kamera undur dan penderia parkir hadapan.


Klik untuk besarkan

Walau bagaimanapun, versi paling murah ini masih menerima penghidup enjin jarak jauh, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, tiga mod pemanduan (Eco, Sport, Comfort), liang penghembus udara kabin belakang, cruise control,lampu nyalaan siang LED dan fungsi auto pada semua cermin tingkat tetapi tanpa sistem anti-trap.

Manakala untuk fungsi keselamatan pula, Proton S70 paling mampu milik ini masih diberikan tiga penderia undur di belakang, enam-beg udara, sistem brek dengan ABS, EBD dan BA, kawalan kestabilan elektronik dan kawalan traction, brek parkir elektrik dengan fungsi auto-hold, bantuan mula mendaki serta fungsi-fungsi kelematan aktif seperti amaran pelanggaran belakang, bantuan tukar lorong, amaran lintasan trafik belakang dan amaran buka pintu.

Beralih kepada varian 1.5T Premium, ia mula menerima lampu hadapan LED automatik, bar lampu merentangi but belakang, cermin sisi auto-lipat, roda stereng dan tempat duduk balutan leatherette, sistem penghawa dingin automatik, cermin tingkap dengan fungsi anti-trap, kamera undur dan tambahan dua penderia parkir hadapan. Perincian lain masih lagi sama seperti 1.5T Executive.

Varian 1.5 Flagship pula adalah varian hampir lengkap dengan semua perincian paling mahal ditawarkan. Menerusi varian ini ia ditingkat taraf dengan rim aloi 17-inci dengan tayar 205/50R17 serta sistem kunci but automatik sekiranya kunci dekat dengan kereta.


Klik untuk besarkan

Masuk ke kabin, ia diberikan pengecas telefon pintar tanpa wayar, manakala pemandu menerima mod pilihan talaan stereng, paparan instrumen digital penuh dengan skrin 10.3-inci dan tempat duduk pemandu larasan kuasa.

Bagi sistem infotaimen, model Flagship ini menerima enam pembesar suara serta skrin sesentuh lebih besar bersaiz 12.3-inci. Skrin tersebut memberikan fungsi seperti arahan suara “Hi, Proton”, navigasi, ramalan cuaca dan streaming muzik atas talian menerusi sistem 4G dan wi-fi bina dalam.

Aplikasi telefon pintar Proton Link juga boleh dihubungkan pada S70 yang memberikan fungsi seperti pemantau status kenderaan serta kawalan jauh pelbagai sistem pada kereta. Ia juga datang dengan sistem pemantau angin tayar dan juga kamera pemantau 360 darjah dengan paparan 3D.



Sistem bantuan pemanduan penuh diberikan pada varian ini merangkumi fungsi seperti brek kecemasan automatik, amaran pelanggaran hadapan, cruise control adapatif pintar dengan fungsi stop & go serta kawalan stereng, kawalan kekal di tengah lorong dengan amaran keluar jalan, pengenal tanda trafik jalan serta lampu tinggi pintar.

Tidak banyak perbezaan diberikan pada varian 1.5T Flagship ini dengan varian tertinggi 1.5T Flagship X. Bagi anda yang membeli S70 paling mahal ini, ia hanya menerima tambahan perincian seperti bumbung suria, dan perakam video digital (dashcam). Proton juga menawarkan warna badan eksklusif Quartz Black hanya pada varian Flagship X ini.

Dengan pelbagai perincian tambahan yang diberikan untuk varian lebih tinggi menjadikan S70 1.5T Executive merupakan varian paling ringan dengan berat keseluruhan ditimbang pada 1,300 kg. Manakala varian paling mahal 1.5T Flagship X pula adalah 19 kg lebih berat dengan 1,319 kg.

Masih tiada sebarang petunjuk rasmi dari Proton berkenaan harga jualan bagi keempat-empat varian Proton S70 ini, dan ia hanya akan diketahui ketika pelancarannya esok. Namun ada penganalisis menjangkakan varian asas S70 1.5T Executive mungkin akan dijual lebih murah dari Honda City dan Toyota Vios iaitu di bawah RM85,000.

Proton S70 merupakan sedan yang diasaskan dari platform B-segment Modular Achitecture (BMA) yang sama seperti SUV Proton X50. Walaupun dari bahagian luaran ia nampak sama seperti Geely Emgrand untuk pasaran China, Filipina dan beberapa negara Timur Tengah, S70 sebenarnya dibangunkan semula oleh Proton dengan pelbagai perubahan drastik.

Antaranya enjin 1.5L NA dan kotak gear CVT yang digantikan dengan enjin 1.5L tiga-silinder turbo yang lebih berkuasa dan transmisi klac berkembar automatik tujuh-kelajuan yang lebih responsif, ruang kabin yang lebih sesuai untuk pasaran Malaysia, talaan suspensi “Proton Ride Handling”, kelengkapan keselamatan lebih canggih dengan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dan pelbagai lagi. Kami turut sudah menguji sedan ini di litar ujian Proton dua minggu lalu di mana ulasannya boleh anda baca pada PAUTAN INI.

GALERI: Proton S70 Flagship dan Flagship X 2023


































































































































The post Proton S70 – spesifikasi lengkap setiap varian tertiris sebelum pelancaran rasmi esok, 28 Nov 2023 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *