Chery Malaysia komited labur sebanyak RM1b – Zafrul

Chery telah menyuarakan hasrat untuk melabur lebih RM1 bilion di Malaysia, dedah Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menerusi laman Facebook rasminya selepas mengadakan pertemuan dengan pengerusi Chery, Yin Tong Yue di ibu pejabat MITI semalam.

Menteri MITI itu turut berkata sejak Chery Automobile memasuki pasaran negara tahun lalu menerusi anak syarikatnya di Malaysia, Chery Corporate Malaysia Sdn. Bhd. (CCM), lebih 600 pekerjaan diwujudkan untuk rakyat tempatan. Tambahnya, pelaburan Chery ini juga akan menyokong misi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP2030) dalam mengusahakan EV buatan tempatan (CKD).

Buat masa ini, Chery masih belum menjual EV di Malaysia secara rasmi, tetapi bakal memperkenalkan Omoda E5, yang merupakan model import sepenuhnya (CBU). Jika menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Zafrul, adakah ini bermakna Omoda E5 bakal dikeluarkan secara pemasangan tempatan di sini, seperti mana yang ditawarkan di pasaran Indonesia? Kita perlu tunggu dan lihat.

Dalam pertemuan semalam, Yin turut menyerahkan Omoda E5 kepada Zafrul untuk dipandu uji. “Malaysia merupakan bahagian penting dalam strategi global Chery. Kilang CKD yang bakal dilaburkan di sini bukan sahaja akan meliputi pasaran tempatan Malaysia tetapi juga akan diperluaskan ke seluruh rantau Asia Tenggara, menjadi kubu kuat untuk pasukan baharu memasuki Asia Tenggara pada masa hadapan,” kata Yin.




GALERI: Chery Omoda 5 EV di GIIAS 2023










The post Chery Malaysia komited labur sebanyak RM1b – Zafrul appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *