Proton menjangkakan sedan S70 yang baru dilancarkan semalam akan terjual melebihi SUV X50. Perkara ini dikongsikan oleh Timbalan Presiden Jualan, Edmund Lim dalam sidang media di selepas pelancarannya semalam. Ini sesuatu yang mencabar, memandangkan SUV lebih popular dalam pasaran tempatan ketika ini.
Beliau menjelaskan yang jualan SUV segmen B itu ketika ini sekitar 2,000 unit sebulan, sementara sasaran untuk S70 — yang berkongsi platform BMA dan enjin 1.5L MPI Turbo dengan X50 — adalah antara 2,000 hingga 3,000 unit sebulan. Jika berhasil, S70 akan mengatasi X50 untuk menjadi model paling laris Proton selepas Saga.
Dengan Honda City yang ketika ini purata jualannya sebulan sekitar 2,400 unit untuk sedan segmen B, agak mencabar untuk S70 mengambil alih tampuk pendahulu tersebut. Namun, dengan penawaran harga antara RM73,800-RM94,800, ia mungkin menjadi faktor pilihan bagi lebih ramai pelanggan, sekaligus melonjakkan lagi angka jualannya untuk mengatasi City dan Vios.
Namun, jika dilihat dari sudut jualan segmen C, S70 sudah pasti mampu berada teratas. Dengan jualan 2,000 sebulan, S70 bahkan akan mengatasi jualan Civic berkali ganda, kerana harganya yang bersaing sama kelas dengan City. Hal ini sama saja dan pernah kita lihat dilakukan terhadap X70 — saiz bersaing dengan CR-V, tetapi harga sekolompok dengan HR-V.
Proton S70 ditawarkan dalam empat varian — Executive, Premium, Flagship dan Flagship X. Varian paling asasnya tampil cukup meyakinkan, dengan harga yang memberi nilai terbaik kepadanya dengan angka RM73,800. Premium pula dijual pada harga RM79,800, manakala Flagship pada harga RM89,800. Flaghsip X hanya melibatkan pertambahan sedikit dengan RM94,800.
Ikuti juga laporan pandu uji ringkas serta pelancaran Proton S70.
The post Proton jangka sedan S70 akan terjual melebihi X50 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.