PLUS peruntukkan RM18j tambahbaik tandas di R&R, hentian sebelah, plaza tol di Lebuhraya Utara-Selatan

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah memperuntukkan sebanyak RM18 juta untuk kerja-kerja penambahbaikan tandas awam di beberapa kawasan rehat dan rawat (R&R), hentian sebelah dan plaza tol terpilih sepanjang Lebuhraya PLUS tahun ini. Ia bertujuan untuk terus menyediakan pengalaman yang lebih selesa kepada pengguna lebuh raya kendaliannya.

“Kerja-kerja penambahbaikan tandas awam ini yang merangkumi 31 lokasi iaitu tujuh kawasan R&R, satu restoran jejantas, 12 hentian sebelah dan 11 plaza tol terpilih kini sedang giat dijalankan. Kesemua kerja penambahbaikan tandas awam Lebuhraya PLUS dijangka akan siap sepenuhnya secara berperingkat bermula akhir tahun ini sehingga awal tahun hadapan,”kata PLUS menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

Antara kawasan yang terlibat untuk kerja-kerja penambahbaikan tandas awam ini adalah di R&R Machap (Arah Utara), Gelang Patah (Kedua-dua Arah), Tapah (Kedua-dua Arah), Gurun (Arah Selatan) dan Pagoh (Arah Selatan), Restoran Jejantas Sungai Buloh, Hentian Sebelah Senawang (Arah Selatan), Pedas Linggi (Kedua-dua Arah), Tangkak (Kedua-dua Arah), Bukit Gantang (Kedua-dua Arah), Tikam Batu (Arah Selatan), Alor Pongsu (Kedua-dua Arah), Behrang (Arah Selatan) dan Kampung Bemban (Arah Utara).

Manakala bagi plaza tol ia melibatkan Plaza Tol Tapah, Kajang, Jalan Duta, Simpang Ampat, Sungai Besi, Seafield, Kota Damansara, Bukit Raja, Setia Alam, USJ dan Putrajaya.


“Di kawasan R&R terpilih, tandas awam telah ditambah baik dengan menambah bilangan tandas duduk dan dilengkapi dengan kubikel khas untuk Orang Kelainan Upaya (OKU) dan kanak-kanak, kubikel untuk keluarga, bilik menukar lampin bayi, kemudahan tempat mandi serta landskap untuk pengudaraan dan pencahayaan semula jadi.

“Bagi memastikan keselesaan berterusan pengguna lebuh raya sepanjang tempoh kerja-kerja penambahbaikan dilaksanakan, pengguna lebuh raya boleh menggunakan kemudahan tandas sementara yang telah disediakan. Sebagai alternatif, para pengguna juga boleh meneruskan perjalanan ke R&R dan hentian sebelah yang seterusnya untuk akses kepada tandas awam yang masih beroperasi seperti biasa,” sambung PLUS lagi.

Tambahnya, setakat hari ini, kerja-kerja penambahbaikan tandas awam di 11 lokasi sepanjang Lebuhraya PLUS telah pun disiapkan lebih awal dan sudah boleh digunakan oleh semua pengguna Lebuhraya PLUS. Ia membabitkan R&R Gelang Patah (Arah Utara), Hentian Sebelah Senawang (Arah Selatan), Pedas Linggi (Arah Utara), Tangkak (Arah Selatan), Tikam Batu (Arah Selatan), Alor Pongsu (Arah Utara) serta plaza tol di Jalan Duta, Tapah, Kajang, Bukit Raja dan Simpang Ampat.

“Bagi meningkatkan keselesaan pengguna lebuh raya pada masa hadapan, PLUS merancang untuk melaksanakan projek naik taraf kawasan-kawasan rehat dan hentian sebelah dari masa ke masa. Usaha ini adalah komitmen berterusan PLUS untuk menyediakan perkhidmatan dan pengalaman yang lebih baik kepada pengguna lebuh raya.

“PLUS mengucapkan terima kasih kepada pengguna lebuh raya atas kesabaran dan kerjasama yang telah diberikan sepanjang kerja-kerja penambahbaikan ini dijalankan,” kata PLUS lagi.




The post PLUS peruntukkan RM18j tambahbaik tandas di R&R, hentian sebelah, plaza tol di Lebuhraya Utara-Selatan appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *