Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak melaksanakan sebarang sekatan jalan raya (SJR) di kawasan berisiko seperti laluan berbukit atau selekoh. Walau bagaimana pun, sekatan di kedua-dua lokasi terbabit hanya akan dibuat jika berlakunya kemalangan.
Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah, polis mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan yang mesti dipatuhi oleh setiap anggota ketika menjalankan SJR. Ia termasuk Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN) dan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik.
“Di kawasan bukit (atau) selekoh itu bukan sekatan jalan raya tetapi lebih kepada mengawal lalu lintas sehingga kes kemalangan itu selesai dan siasatan dibuat,” katanya di Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) yang bertanyakan prosedur operasi standard (SOP) SJR di kawasan selekoh dan berbukit yang disifatkan mampu mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya.
Selain itu, Hok Liong turut bertanyakan menerusi soalan tambahannya mengenai segelintir anggota polis yang menyalahgunakan kuasa mereka dengan tidak mematuhi SOP SJR, laporan Astro Awani.
Mengulas lanjut mengenai SOP, Shamsul Anuar berkata PTKPN A113 menetapkan SJR perlu didirikan di lokasi, di mana kedua-dua belah jalan adalah luas, dan boleh digunakan sebagai tempat memeriksa serta tidak menyebabkan kesesakan jalan raya.
“Arahan PTKPN A113 turut menetapkan jumlah keanggotaan yang bertugas di SJR hendaklah terdiri daripada empat pegawai rendah polis yang bertanggungjawab terhadap pengawasan dan pemeriksaan kenderaan serta mengawasi aliran trafik,” ujarnya lagi.
Dalam masa sama, beliau berkata pelaksanaan SJR antaranya memerlukan peralatan seperti papan tanda berukuran tiga kaki enam inci berwarna putih dengan perkataan ‘berhenti pemeriksaan polis’, dengan sekurang-kurangnya satu lampu VC.
The post Polis tidak lakukan sekatan jalan raya di kawasan berbahaya termasuk di selekoh, selepas bukit – KDN appeared first on Paul Tan’s Automotive News.