Wanita maut dirempuh sebuah Satria Neo dipandu remaja perempuan berumur 14 tahun di Alor Setar

Seorang peniaga wanita berusia 32 tahun maut dalam satu kemalangan yang berlaku di Jalan Kuala Kedah, Alor Star semalam selepas motosikal yang dinaikinya dirempuh oleh sebuah Proton Satria Neo yang dipandu oleh seorang remaja berumur 14 tahun, lapor Kosmo.

Mangsa, Nur Shafiqah Abdullah, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan di beberapa bahagian badan, manakala kakaknya Nooraliza Abdullah, 43 yang turut bersama menaiki motosikal tersebut mengalami kesakitan di bahagian dada, pinggang dan kaki kiri.

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Syed Basri Syed Ali, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 7.05 malam semalam.

“Siasatan mendapati, dua beradik yang menaiki motosikal jenis Honda Wave tersebut bergerak dari lampu isyarat Taman Bersatu menghala ke Kuala Kedah manakala kereta Proton Satria dipandu remaja perempuan datang dari arah bertentangan.

“Kereta tersebut dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke pembahagi tengah jalan sebelum masuk ke arah bertentangan,” katanya dan menambah kereta itu kemudian bertembung dengan motosikal dinaiki Nur Shafiqah dan kakaknya menyebabkan mangsa maut di lokasi kejadian manakala kakaknya pula cedera di beberapa bahagian badan.

Syed Basri turut menjelaskan bahawa kejadian itu berlaku ketika hujan dan jalan basah, manakala remaja perempuan tersebut yang tidak bekerja dan tidak bersekolah dipercayai memandu kereta milik rakan ibunya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu kereta tersebut yang gagal mengawal kenderaannya,” katanya.

Beliau turut memberitahu bahawa pihaknya kini masih berusaha mengesan saksi awam di lokasi kejadian dengan pemeriksaan lanjut akan turut dijalankan terhadap kenderaan terlibat.

“Pihak kami akan berusaha mengesan pemilik kereta itu dan mengambil tindakan terhadapnya kerana membenarkan kenderaan tersebut dipandu remaja bawah umur,” katanya.

The post Wanita maut dirempuh sebuah Satria Neo dipandu remaja perempuan berumur 14 tahun di Alor Setar appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *