Dengan meramalkan adaptasi terhadap kenderaan elektrik penuh (EV) yang rendah di rantau Asia, Toyota tidak akan menumpukan terhadap teknologi itu sahaja bagi mensasarkan neutral karbon pada masa hadapan, dan masih akan menawarkan pelbagai unit rangkaian kuasa yang masih dijana oleh bahan api fosil dan dibantu teknologi elektrifikasi.
Menurut presiden dan CEO Toyota Motor Asia Pacific (TMAP) Hao Quoc Tien, Toyota menjangkakan jualan EV di Asia hanya akan berada pada kadar 20% hingga 30% menjelang tahun 2030. Kadar tersebut jelas rendah berbanding beberapa negara Eropah yang telah mensasarkan untuk mengharamkan penjualan model-model baharu dengan enjin pembakaran dalaman pada tahun yang sama.
Hao menyatakan kadar adaptasi EV di Asia ini berlainan antara negara dengan menyebut Singapura akan menjadi negara paling tinggi kada penggunaan EV, diikuti Thailand sekitar 25% pada tahun berkenaan. Negara-negara Asia lain termasuk Malaysia dijangka adalah lebih rendah kerana kekurangan fasiliti untuk mengecas.
Oleh itu, Hao menegaskan sebab itulah Toyota melihat bagi mencapai neutral karbon EV bukan satu-satunya jalan penyelesaian. “Katakanlah kami mendapat 30% itu (daripada jualan EV di Asia), jika kami tidak (turut) meningkatkan 70% yang lain, matlamat neutraliti karbon kami akan gagal,” kata Hao dalam pra-taklimat kepada media sebelum bermulanya Japan Mobility Show 2030 di Tokyo semalam.
“Ini bukan semuanya tentang EV – tidak ada apa yang salah dengan EV, saya fikir teknologinya sangat bagus – tetapi terdapat batasan sebenar (buat masa ini). Mungkin dalam 10 atau 20 tahun lagi, peratusan EV akan lebih tinggi, dan saya fikir ia sepatutnya, tetapi dari sekarang sehingga itu, apa yang perlu kita buat? Itu persoalan utama,” jelasnya lagi.
Toyota kini sedang berusaha keras untuk mengurangkan kadar pelepasan karbon menggunakan pelbagai teknologi untuk 70% jualan bukan EVnya yang lain, dengan apa langkah yang digelar pendekatan pelbagai-cara kearah kemampanan. Syarikat itu yakin bahawa setiap teknologi mempunyai peranannya dalam membantu mengurangkan pelepasan karbon.
Salah satu tonggak utama Toyota untuk bergerak ke hadapan ialah menawarkan mobiliti bersih untuk semua, dalam masa yang sama tidak meninggalkan mana-mana pihak di belakang. Mewujudkan jaringan yang lebih luas adalah penting untuk mencapai matlamat, terutamanya dalam pasaran yang kurang bersedia atau kurang menyambut baik kehadiran EV. Sekiranya Toyota hanya memandang EV sebagai satu-satunya masa depan, pasaran seperti kita bakal ketinggalan.
Pelbagai teknologi yang dimaksudkan adalah termasuk enjin pembakaran dalaman (seperti petrol dan diesel), bahan bakar-bio gas asli termampat (CNG), kenderaan elektrik hibrid (HEV, atau sistem hibrid konvensional), kenderaan hibrid plug-in (PHEV, atau model hibrid dengan bateri lebih besar dan boleh dicas seperti EV), kenderaan elektrik bateri (BEV atau EV), serta kenderaan elektrik sel bahan api hidrogen (FCEV).
Kesemua teknologi ini Toyota sifatkan memainkan peranan masing-masing dalam mencapai neutral karbon tak kira kecil atau besar. Apa pula pandangan anda, adakah langkah yang diambil Toyota ini adalah lebih logik atau sebaliknya?
The post Adaptasi EV di Asia rendah, Toyota masih bangunkan pelbagai teknologi dengan enjin pembakaran dalaman appeared first on Paul Tan’s Automotive News.