Ketika pembukaan pameran Japan Mobility Show 2023 yang bermula hari ini di Tokyo, Mitsubishi Motors Corporation (MMC) mempertontonkan buat pertama kali model Mitsubishi D:X Concept, iaitu sebuah MPV crossover elektrik.
Menurut Mitsubishi, rekaan konsep ini menampilkan teknologi terbaik yang dimiliki jenama itu ketika ini: teknologi elektrifikasi dan jga sistem pacuan semua roda. Ini sebagai tanda ke arah masyarakat yang neutral karbon di masa akan datang. Namun, ia tetap sarat dengan kemampuan pengembaraan dan pemanduan yang boleh dinikmati oleh semua orang.
Mitsubishi D:X Concept ini mengambil ilham serta ingin membayangkan model Delica dari masa depan. Dengan menggabungkan keselesaan melalui ruang kabin yang luas serta prestasi pemanduan sebuah PHEV tanpa had kemampuan untuk melakukan apa saja aktiviti, rekaan ini mendorongkan lagi gaya hidup lincah.
Tidak hanya memberikan kelainan dan keselesaan terhadap pengguna umum, Mitsubishi D:X Concept juga dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda, bagi membolehkannya turut menggalas pemanduan mencabar di permukaan off-road. Rekaan Delica berkenaan dapat dilihat pada rekaan tingkat yang dipanjangkan dari depan hingga ke belakang, serta tiang D yang ketara.
Rekaan bahagian fender-nya juga menggambarkan ketangkasan dan kelasakannya: ia lebih menonjol dan berotot, memberikan imej kental kepada MPV ini. Wajah depannya pula mengekalkan rekaan Dynamic Shield yang kelihatan cukup meyakinkan dan besar.
Bahagian dalam antara lain turut menampilkan sistem audio generasi baru yang dibangunkan bersama Yamam Corporation — ada pembesar suara yang ditempatkan di bahagian perehat kepala dan kedudukan lain untuk mendapatkan kesan bunyi 3D. Ruang dalaman berkotak di dalam menyediakan ruang yang sangat luas. Kerusi panoramik yang boleh dipusing dan dinaik/turun, serta bahagian tingkap yang luas menerbitkan lagi rasa keluasan yang luar biasa bagi saiznya.
Sistem kawalan dinamik kenderaan bersepadu S-AWC juga diterapkan untuk sistem 4WD elektrik yang ada untuknya. Ia memberikan pemanduan dan kawalan yang selamat dan selesa dalam apa juga keadaan jalan dan cuaca. Lebih menarik, walaupun dengan rekaan seperti berkotak ini, ia memberikan pengalaman kabin yang sama seperti kenderaan penumpang pada kebiasaannya.
Mitsubishi D:X Concept merupakan sebuah kenderaan plug-in hybrid (PHEV). Ia boleh dipacu secara elektrik sepenuhnya untuk keperluan harian, dan apabila diperlukan untuk pengembaraan yang lebih mencabar, pemanduan hibrid akan membantu memudahkan lagi perjalanan. Ia juga hadir dengan beberapa mod pemanduan.
The post Mitsubishi D:X Concept — Delica PHEV untuk off-road appeared first on Paul Tan’s Automotive News.